Bikesrepublic

Berita Terkini

Syarifuddin Azman @ Damok bakal menjadi wakil tunggal negara di Kejuaraan Dunia MotoGP musim 2023 yang akan membuka tirai Februari ini bermula dengan sesi ujian rasmi. 

Pelumba berusia 21 tahun itu akan membuat penampilan penuh di kelas Moto3 bersama pasukan MT Helmets-MSI bergandingan dengan Diogo Moreira. 

Ketika pelumba MotoGP bertandang ke Litar Antarabangsa Sepang untuk sesi Sepang Shakedown dan ujian rasmi, Damok mungkin ke Sepanyol bersama pasukan barunya. 

“Buat masa sekarang ini, saya mempersiapkan diri di Malaysia dan mungkin akan menyertai ujian (bersama pasukan) pada Februari ini di Sepanyol. Sebelum ini, saya sudah menjalani ujian bersama pasukan,” jelasnya. 

Meskipun perlu menyesuaikan diri dengan jentera dan pasukan baharu, Damok meletak harapan tinggi untuk meraih gelaran ‘Rookie of the Year’. 

“Kalau boleh saya ingin dapatkan gelaran ‘Rookie of the Year’ dan cuba dapatkan mata sebanyak mungkin,” tambahnya. 

Bakal beraksi dengan jentera KTM, Damok  akan memulakan kempen pertamanya di Litar Portimao, Portugal dari 24 hingga 26 Mac. 

Lebih mencabar, Damok akan beraksi pada bulan Ramadan sekaligus bakal berdepan ujian berbeza. 

Lorong motosikal menghala ke Kuala Lumpur di Lebuhraya Shah Alam (Kesas) akan ditutup selama dua hari pada Sabtu dan Ahad ini bagi memberi ruang kepada kerja penambahbaikan. 

Perkara itu disahkan Jabatan Perhubungan Awam Kesas Sdn Bhd dalam satu kenyataan hari ini. 

Menurut kenyataan tersebut, penutupan itu membolehkan pihak lebuhraya melakukan baik pulih permukaan jalan sekaligus memastikan penggunaanya lebih selamat.

“Lorong dari kilometer (KM) 44.50 hingga KM45.00 di Persimpangan Bertingkat Kinrara ditutup pada Sabtu ini manakala dari KM24.30 hingga KM24.90 di Persimpangan Bertingkat Kebun ditutup pada Ahad. 

“Pengguna Kesas dinasihatkan supaya berhati-hati dan patuhi papan tanda yang disediakan di kawasan berkenaan, dan sebarang pertanyaan boleh hubungi talian kecemasan KESAS di 03-56337188 atau layari www.kesas.com.my,” jelasnya. 

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Dato’ Zailani Haji Hashim memaklumkan bahawa orang ramai yang mahu berkonvoi motosikal perlu memaklumkan pihak JPJ dan polis terlebih dahulu. 

Kenyataan itu dibuat sewaktu sesi sidang media sempena Kempen Keselamatan Jalan Raya 2023 yang berlangsung di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Seremban, hari ini. 

Menurut Zailani, inisiatif itu adalah sebahagian daripada usaha JPJ bersama-sama pihak pihak polis terutamanya dalam menangani kes tunggang motosikal berkuasa tinggi tanpa lesen (B Full). 

“Saya telah bercakap dengan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasana Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Wira Mat Kasim dimana setiap konvoi melibatkan lebih daripada satu motosikal bukan sahaja perlu memaklumkan pihak polis malah JPJ,” jelasnya. 

Tambah Zailani lagi, langkah itu bertujuan membolehkan pihak JPJ melakukan semakan yang lebih terperinci termasuk cukai jalan dan lesen yang betul. 

“Mereka perlu nyatakan terlebih dahulu intipati konvoi termasuk maklumat penunggang, jenis motosikal yang akan digunakan dan (paling mustahak) lesen motosikal,” tambahnya.

Kenyataan itu dibuat susulan menjawab persoalan tentang insiden kemalangan babitkan lima motosikal berkuasa tinggi di Lebuhraya Karak baru-baru ini apabila didapati hanya satu daripada lima penunggang memiliki lesen B (Full). 

Dalam pada itu, Menteri Pengangkutan, YB Anthony Loke turut menjelaskan pihak Kementerian sedang meniliti semula Akta Pengangkutan Jalan 1987 dalam mengetatkan lagi Akta 333 bagi menangani masalah lumba haram dan yang berkaitan.

Namun begitu, Loke memaklumkan tiada kata putus yang telah dibuat setakat ini.

Menteri Pengangkutan, YB Anthony Loke dengan rasminya melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya 2023 anjuran Suzuki Malaysia bersama Persatuan Pengedar Motosikal dan Skuter Malaysia (MMSDA).

Kempen kali ini berjalan dengan slogan “Kekal Waspada, Keselamatan Bersama” mempromosikan kepentingan keselamatan jalan raya terutamanya membabitkan pengguna motosikal. 

Berlangsung di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Seremban, program hari ini turut membabitkan pertukaran helmet lama kepada baharu (terhad kepada 300 unit) dan pemeriksaan keselamatan 16 bahagian motosikal.

Dalam pada itu, kempen seumpamanya cukup penting apatah lagi dengan pertambahan jumlah motosikal di Malaysia. 

Lebih mengejutkan, Anthony Loke memaklumkan sebanyak 720,000 unit motosikal telah terjual bagi tahun 2022, satu peningkatan mendadak berbanding tahun sebelumnya yang merekodkan sebanyak 500,000 unit. 

Susulan pertambahan jumlah motosikal di jalan raya, pastinya aspek keselamatan perlu dititik beratkan apatah lagi angka kematian babitkan pengguna motosikal juga tinggi tahun lalu. 

Pengeluar motosikal dari Finland, Verge telah melancarkan motosikal elektrik berprestasi tinggi yang dinamakan TS Ultra.

Verge TS Ultra didedahkan kepada umum menerusi laman media sosial syarikat itu semalam dan bingkas mencuri tumpuan ekoran tampil dengan angka kuasa yang mengagumkan di samping menampilkan ciri tayar jenis ‘hubless’. 

Ini secara tidak langsung meletakkan Verge TS Ultra sebagai inovasi baharu motosikal elektrik berkuasa tinggi. 

Manakan tidak, Verge TS Ultra ini menawarkan 201hp dan 1200Nm. 

Menurut pihak Verge, TS Ultra ini juga menawarkan jarak tertinggi setakat ini apabila boleh pergi sejauh 275km bagi setiap cas penuh. Verge juga mendakwa TS Ultra boleh mencapai kelajuan maksima sekitar 200km/j.

Lebih menarik, dengan bantuan sistem pengecas bateri pantas, TS Utlra hanya memerlukan 25 minit untuk dicas sepenuhnya. 

Sudah tentu dengan ciri mengagumkan, TS Ultra juga datang dengan tanda harga yang tinggi, EUR44,900 (RM210k) sekaligus meletakkan motosikal elektrik ini seangkatan jentera ‘flagship’ Ducati antaranya Panigale V4 baharu. 

Untuk rekod, terdapat dua varian lain ditawarkan Verge ketika ini. TS (Standard) menawarkan 107hp dan 700Nm manakal TS Pro pula hadir dengan 136hp dan 1,000Nm. 

Pelekat cukai jalan yang lebih berkualiti bakal diperkenalkan tahun ini sepertimana yang dimaklumkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Loke dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya sedang berusaha untuk menggantikan pelekat cukai jalan sedia ada yang dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Saya tahu ramai orang mengadu berkenaan sticker cukai jalan yang kurang berkualiti. 

“Perkara itu memang dalam perhatian kami dan satu perubahan besar bakal dilaksanakan dalam tahun ini,” jelasnya. 

Isu berkaitan pelekat cukai jalan sedia ada sudah dibangkitkan lama oleh orang awam ekoran mudah koyak di samping sukar dibersihkan apabila ditanggalkan daripada cermin hadapan. 

Dalam pada itu, Loke juga mendedahkan pihaknya sedang meneliti inisiatif baharu bagi memudahkan urusan orang ramai sewaktu berurusan di kaunter JPJ.

“Agenda utama kita ialah mempermudahkan urusan rakyat dan saya tak ingin melihat orang ramai beratur panjang di pejabat-pejabat JPJ yang menyusahkan mereka,”tambahnya. 

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube