Bikesrepublic

Berita Terkini

Dalam usaha mencapai 15 peratus jumlah jualan motosikal elektrik menjelang 2023, kerajaan telah memperkenalkan Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik ketika Belanjawan 2024 yang diumumkan pada Jumaat. 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Insititut Automotif Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Azrul Reza Aziz, skim terbaru yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu akan bantu meningkatkan industri EV dua roda sekaligus mengukuhkan ekosistem kenderaan hijau di Malaysia.

“MARii yakin ini merupakan satu langkah penting dalam pembangunan teknologi serta aktiviti perniagaan tempatan berkaitan EV.

“Skim ini akan menggalakan penggunaan motosikal EV dan secara tidak langsung membina keyakinan masyarakat terhadap penggunaan motosikal EV di Malaysia,” jelas Azrul Reza Aziz dalam satu kenyataan. 

Untuk rekod, Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik adalah inisiatif khas yang akan diperkenalkan kepada golongan berpendapatan tahunan RM120,000 ke bawah. 

Menerusi skim ini, kerajaan akan memberi rebat sehingg RM2,400 kepada mereka yang mahu membeli motosikal elektrik. Selain itu, kerajaan juga bercadang melanjutkan pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM2,500 bagi perbelanjaan kemudahan pengecasan untuk tempah empat tahun serta potongan cukai bagi kos sewaan EV untuk tempoh dua tahun. 

Kawasaki Z650RS menjadi model 650cc terbaru yang kini dinaik taraf dengan sistem Kawasaski Traction Control (KTRC) bagi tahun 2024 setelah Versys 650, Ninja 650 dan Z650 mendapat fungsi sama tahun ini. 

Kehadiran KTRC secara tak langsung menjadikan Z650RS sebagia motosikal yang bukan sahaja tampil dengan gaya retro malah turut mencapai standard jentera moden masa kini.

Menurut Kawasaki, KTRC ini datang dengan dua mod; Mode 1 (paling kurang gangguan kawalan cengkaman) Mode 2 (paling tinggi gangguan kawalan cengkaman). KTRC ini juga boleh dipadamkan sepenuhnya. 

Selain itu, ciri dan kelengkapan lain kekal sama seperti model sebelum ini termasuk enjin parallel-twin 649c, fork depan 41mm (tidak boleh laras), serta kaliper brek Nissin. 

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) memperkenalkan Yamaha R15M Monster Energy edisi terhad untuk pasaran tempatan. 

Menurut HLYM, hanya 600 unit edisi kali ini dihasilkan dan dijual dengan harga jualan disyorkan RM14,998 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans). 

Untuk rekod, Yamaha R15M edisi Monster Energy ini kali kedua diperkenalkan untuk pasaran tempatan namun dengan grafik terkini yang diilhamkan daripada jentera Yamaha M1 di MotoGP. 

Meskipun begitu, spesifikasi enjin kekal sama dengan masih lagi dikuasakan enjin satu silinder 155cc SOHC dengan VVA yang menawarkan 19hp pada 10,000rpm dan 14.7Nm pada 8,500rpm. Model ini juga dilengkapi dengan fungsi Y-Connect. 

Dalam pada itu, HLYM memberitahu pilihan warna ‘Signature M’ masih lagi dikekalkan.

Tak lekang dengan inovasi bagi dunia dua roda, pengeluar motosikal terkemuka Jepun, Honda telah memperkenalkan teknologi “Honda E-Clutch” serba baharu. 

Menurut Honda, teknologi baharu itu akan mempertingkatkan lagi kawalan klac ketika menunggang. 

Honda menghuraikan teknologi terbaru itu sebagai satu bentuk bantuan klac baharu. Sistem itu dibangunkan khas untuk memastikan operasi klac berjalan dengan lancar dalam pelbagai keadaan termasuk ketika menghidupakn enjin, menukar gear dan mematikan enjin. 

Jelas Honda, operasi klac adalah sesuatu yang kritikal dalam kendalian motosikal lantas sistem “Honda E-Cluth” boleh melenyapkan proses kawalan klac oleh penunggang. 

Bagaimanapun, Honda menjelaskan bahawa penunggang masih mempunyai kawalan sepenuhnya terhadap klac walaupun ketika “Honda E-Clutch” sedang beroperasi.  Ini kerana objektif utama pembangunan “Honda E-Clutch” ini adalah memastikan penunggang menikmati sepenuhnya pengalaman menunggang motosikal Honda berbanding terikat dengan pengurusan klac yang rumit. 

Menariknya, Honda mendakwa sistem terbaru ini boleh diterapkan terus kepada motosikal Honda sedia ada tanpa perlu melakukan perubahan yang signifikan. Ini bermakna, teknologi baharu itu kemungkinan akan diperkenalkan kepada umum tidak lama lagi. 

Pengarah Pasukan Yamaha, Massimo Meregalli percaya Yamaha telah buat sehabis mungkin bagi mendapatkan hasil terbaik daripada jentera MotoGP musim ini. 

Yamaha antara yang bergelut musim ini dengan prestasi jentera dengan Fabio Quartararo dan Franco Morbidelli gagal menghadirkan sebarang saingan di litar. Setakat ini hanya dua podium berjaya diraih kedua-duanya menerusi Quartararo. 

Antara kelemahan ketara Yamaha M1 musim ini adalah keupayaan untuk memintas jentera lawan. 

Meskipun terdapat beberapa penambahbaikan dilaksakan berbanding jentera musim lalu namun kesemuanya gagal meletakkan jentera Yamaha setanding Ducati, Aprilia dan KTM. 

Ini bermakna, bagi memastikan pelumba utama seperti Quartararo kekal di pasukan itu, Yamaha perlu menghasilkan jentera 2024 yang lebih kompetitif apatah lagi mengakui jentera 2023 sudah habis diperah. 

“Kami tidak akan putus asa. Kami akan terus berusaha sehabis mungkin. Musim ini ternyata sukar untuk kami semua,” jelas Meregalli. 

Bagaimanapun, Meregalli akui Yamaha perlu masa untuk merapatkan jurang dengan pengeluar lain.

“Ada beberapa aspek yang kami masih belajar. Kami perlu masa untuk merapatkan jurang yang ada. Ketika musim sejuk nanti kami perlu perbaiki kelajuan dan tingkatkan aerodinamik,” tambahnya. 

Ketika ini, Yamaha merupakan satu-satunya pasukan yang masih menaruh kepercayaan pada platform 4-inline sementara pengeluar lain pula mengguna pakai enjin V4.

Gresini Racing dengan rasminya mengumumkan Marc Marquez sebagai pelumba baharu pasukan itu bagi musim 2024. Lapan kali juara dunia itu akan digandingkan bersama adiknya, Alex Marquez selepas disahkan meninggalkan Repsol Honda hujung musim ini. 

Perkembangan terbaru ini sudah pun dijangka ekoran Ducati tidak berselindung di sebalik minat untuk mendapatkan khidmat pelumba itu. Untuk rekod, Marquez akan beraksi dengan jentera Desmosedici GP berusia setahun musim depan.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube