Bikesrepublic

Berita Terkini

Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dengan dukacita mengumumkan pembatalan MotoGP Malaysia 2021 yang dijadualkan pada 22 hingga 24 Oktober ini.

Pembatalan ini juga mengesahkan bahawa tiada pusingan di Asia dijalankan setelah Jepun dan Thailand turut mengambil langkah sama sebelum ini.

Bagaimanapun, SIC terus optimis agar MotoGP kembali ke Malaysia bagi musim 2022.

Sementara itu, SIC mengucapkan terima kasih kepada Dorna Sports, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Kesihatan, Majlis Keselamatan Negara, pihak berkuasa dan peminat sukan permotoran tempatan atas sokongan dan kerjasama diberikan sehingga kini.

Pengumuman pembatalan tersebut sudah dijangka setelah menilai status semasa negara dalam memerangi Covid-19 setakat ini.

Sementara itu, GP Malaysia akan digantikan dengan GP Misano pada tarikh sama.

Minggu lalu, Yamaha telah pun menggantung Maverick Vinales daripada beraksi di GP Austria ekoran tindakannya dengan sengaja cuba merosakan enjin jentera M1 ketika di GP Styria pada minggu sebelumnya.

Vinales kemudiannya telah pun membuat permohonan maaf dan mengakui tindakannya ekoran gagal mengawal emosi.

Bagaimanapun, dalam laporan terbaru, pelumba Sepanyol itu sekali lagi akan menjalani penggantungan dan tidak akan terlibat dengan perlumbaan di Silverstone, hujung bulan ini.

Difahamkan, Fabio Quartararo akan digandingakn dengan pelumba uji, Cal Crutchlow di GP Britain.

Crutchlow sebelum ini telah pun beraksi untuk beberapa pusingan bersama Sepang Racing Team (SRT), menggantikan Franco Morbidelli yang alami kecederaan.

Sementara itu, SRT akan menggandingkan Valentino Rossi bersama pelumba Moto2, Jake Dixon, yang akan membuat penampilan sulung MotoGP di laman sendiri.

GP Britain bakal jadi medan ujian untuk SRT menilai kemampuan Dixon, dalam usaha mencari dua pelumba baharu yang akan membawa saingan pasukan itu menjelang musim 2022.

Pelumba Moto3, Darryn Binder, juga dicanang akan diangkat ke SRT musim depan.

Minggu lalu, SRT disahkan tidak akan meneruskan kerjasama dengan Petronas selaku penaja utama (title sponsor) dan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bagi musim 2022 sekaligus akan bergerak sebagai entiti bebas. – Motorsport.com

Pelumba Moto3, Dennis Foggia, tekad meninggalkan Leopard Racing hujung musim ini selepas tidak puas hati dengan layanan pasukan itu terhadap ayahnya ketika di GP Austria.

Difahamkan, Leopard Racing telah membatalkan pas kebenaran milik ayah pelumba itu sekaligus tidak dibenarkan untuk berada di ‘paddock’ sebelum diusir ke tempat duduk penonton bagi menyaksikan anaknya menaiki podium, hujung minggu lalu.

Foggia kemudian meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pasukannya kepada Sky Italia.

“Ayah saya telah dipaksa keluar dari ‘paddock, keputusan ini sangat tidak adil. Dia terpaksa menyaksikan dari tempat penonton,” jelasnya.

Foggia kemudiannya menegaskan dia enggan kekal bersama pasukan itu dan mahu berhijrah ke Moto2 musim depan meskipun masih terikat kontrak.

“Bagi saya, tiada siapa yang boleh menghalang saya untuk ke Moto2 tahun depan walaupun saya masih terikat dengan kontrak.

“Saya enggan kekal dalam kategori ini (Moto3) ataupun pasukan ini,” tambah Foggia.

Foggia telah pun beraksi selama dua musim bersama Leopard Racing dan mengutip tiga kemenangan.

Pelumba berusia 20 tahun itu kini menduduki tempat keempat kejuaraan dunia Moto3 dengan 102 mata, 94 mata dibelakang pendahulu, Pedro Acosta.

Pelumba Petronas Sprinta Racing Moto3, Darryn Binder, akan diberi peluang menguji jentera Yamaha M1 di Brno, Republik Czech.

Keputusan itu bukan satu kejutan tatkala adik kepada Brad Binder itu dicanang akan naik ke kelas premier bersama pasukan satelit Yamaha SRT bagi mengisi kekosongan yang akan ditinggalkan Valentino Rossi dan Franco Morbidelli memasuki musim 2022.

Rossi disahkan akan bersara hujung musim ini sementara Franco Morbidelli didakwa akan diangkat ke pasukan factory Yamaha.

Pada masa sama, Binder juga dilaporkan akan digandingkan dengan pelumba Sprinta Racing Moto2, Jake Dixon.

Sejauh mana dakwaan itu masih belum dapat dipastikan apatah lagi pelumba Britain itu jauh ketinggalan dalam kejuaraan dunia Moto2 di tempat ke-19 berbanding rakan sepasukan, Xavi Vierge, di tempat ke-10, ketika ini.

Sekiranya gandingan Binder dan Dixon disahkan, kedua-duanya bakal menjadi pelumba baharu bagi pasukan kendalian Datuk Razlan Razali dan Johan Stigefelt yang akan bergerak sebagai entiti baharu musim depan setelah kerjasama dengan Petronas (selaku penaja utama) dan SIC berakhir hujung musim ini.

Meskipun SRT memberi peluang kepada pelumba WorldSBK, Garret Gerloff, untuk dua pusingan sebelum ini, pelumba itu dilihat gagal menarik perhatian Yamaha.

Sementara itu, Toprak Razgatlioglu, dikatakan turut menolak tawaran sertai SRT dan telah pun menandatangani kontrak lanjutan dua tahun dalam usaha merebut kejuaraan WorldSBK.

Razgatlioglu hanya ketinggalan tiga mata dibelakang pendahulu, Jonathan Rea (Kawasaki) setelah merekodkan lima kemenangan daripada 10 perlumbaan. – GPOne

Pengeluar motosikal India, Bajaj, bakal melancarkan Pulsar 250 serba baharu pada November ini selaras dengan sambutan ulang tahun ke-20 jenama itu.

Difahamkan, Bajaj merancang untuk memperkenalkan Pulsar 250 lebih awal namun ditangguhkan ekoran pandemik Covid-19.

Sementara itu, Pengarah Urusan Bajaj Auto, Rajiv Bajaj, mengesahkan bahawa dua versi Pulsar akan dilancarkan membabitkan model Pulsar 250 (naked) dan Pulsar 250F (semi-fairing).

*Sumber: Motoroids

Meskipun terdapat beberapa gambar ‘spy shot’ yang dikongsikan sebelum ini, namun ciri sebenar masih tidak didedahkan setakat ini.

Apa yang pasti, Pulsar 250 akan tampil dengan ciri lebih moden antaranya penggunaan lampu LED penuh berbanding Pulsar NS/RS 200 yang masih menggunakan lampu jenis halogen.

Sementara itu, tidak dipastikan sama ada Pulsar 250 ini akan turut dijenamakan semula oleh Modenas untuk pasaran tempatan pada masa akan datang.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kini menawarkan diskaun 70 peratus bayaran saman termasuk yang telah disenarai hitam sempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-64, bermula hari ini.

Tawaran pengurangan tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif JPJ bagi meringakan beban rakyat yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

Menurut JPJ dalam satu kenyataan, diskaun 70 peratus itu akan berjalan hingga 16 September.

“Potongan ini akan diberikan kepada semua notis saman yang dikeluarkan bagi kesalahan bawah Angka Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (Akta 334) serta Kaedah-kaedah dan Perintah-Perintah di bawahnya, termasuklah kes yang masih dalam tindakan senarai hitam.

“Pengurangan terhadap notis saman berkenaan adalah berdasarkan kepada kadar kompaun semasa yang terdapat dalam sistem mySIKAP JPJ. Tawaran ini turut diberikan kepada semua saman yang masih aktif dan tempoh kompaunnya masih berkuat kuasa dengan syarat pembayaran dilakukan dalam tempoh yang dinyatakan iaitu sehingga 16 September,” jelasnya.

Bagaimanapun, kes yang masih dalam sebutan mahkamah dan individu yang memiliki status waran tangkap dan dalam perbicaraan adalah terkecuali daripada tawaran tersebut.

Sementara itu, urusan pembayaran saman boleh dilakukan di semua pejabat JPJ negeri, cawangan dan Pusat Transformasi Bandar (UTC) serta atas talian menerusi portal mySIKAP JPJ.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube