Episod terbaru Ducati World Premiere 2024 menyaksikan pengeluar motosikal Itali itu melancarkan Ducati Multistrada V4 RS, keluarga terbaru bagi model Multistrada.
Perbezaan utama varian RS tertumpu kepada bahagian enjin. Ini kerana ketika Multistrada V4, V4 S, Rally, Pikes Peak dan Grand Tour dipacu enjin Granturismo V4 1,158cc 4-silinder yang menghasilkan sekitar 170hp dan 125Nm, Multistrada V4 RS pula dihidupkan enjin Desmosedici Stradale 1,103cc yang sama terdapat pada Panigale dan Streetfighter V4. Juga memeriahkan lagi V4 RS ini adalah kehadiran ciri ‘dry clutch’.
Hasilnya, Ducati Multistrada V4 RS ini menawarkan 180hp pada 12,250rpm dan 118Nm pada 9,500rpm. Ini juga bermakna, Multistrada V4 RS ini kembali kepada penggunaan Desmodromic valve yang ikonik kepada jentera Ducati (Granturismo V4 guna pakai ‘valve-spring’).
Menariknya, bagi memastikan suhu panas enjin 1,103cc V4 itu tidak menyeksakan ketika dalam trafik sesak, ECU akan mematikan dua silinder sewaktu dalam keadaan berhenti atau semasa dalam gear neutral.
Meskipun platform berbeza, namun Multistrada V4 RS ini meminjam kerangka aluminium yang sama dari varian Pikes Peak sekaligus menyaksikan sudut ‘steering head’ berubah dari 25.75-darjah kepada 24.5-darjah sekaligus mewujudkan gaya tunggangan yang lebih sporty.
Juga seperti Pikes Peak, Multistrada V4 RS ini dilengkapi dengan rim 17-inci yang dipadankan bersama tayar Pirelli Diablo Rosso IV Corsas. Selain itu penggunaan rim aluminium Marchesini juga berjaya mengurangkan 2.7kg berat.
V4 RS ini juga didatangkan dengan suspensi Öhlins Smart EC 2.0 yang sama terdapat pada V4 Pikes Peak namun dengan elektronik yang telah ditala semula bagi mencapai kawalan fork dan monoshock yang lebih tepat. Tetapan suspensi juga akan diselaraskan mengikut mod Race, Sport, Touring dan Urban.
Selain enjin, V4 RS juga berkongsi pakej brek sama seperti Panigale V4 termasuk kaliper monoblok berkembar Brembo Stylema yang mengapit cakera brek 330mm depan sementara bahagian belakang dikenalikan kaliper Brembo dengan cakera brek 265mm. Model ini jgua hadir dengan ciri ‘cornering ABS’ secara standard.
Ducati juga mengubah kedudukan tempat letak kaki (footrest) agar lebih tinggi dan kebelakang sementara ‘handlebar’ pula lebih rendah dan pendek berbanding Multistrada sedia ada.
Ketika siaran Ducati World Premiere 2024, Ducati menjelaskan bahawa V4 RS ini adalah model edisi terhad namun tidak dinyatakan jumlah spesifik model yang dihasilkan.
GALERI: DUCATI MULTISTRADA V4 RS