Bikesrepublic

Berita Terkini

Yamaha bakal memperkenalkan MT-10 dan MT-10 SP 2022 yang dikemas kini dengan enjin lebih berkuasa dan reka bentuk baharu.

Perkara itu disahkan menerusi dokumen yang telah difailkan baru-baru ini.

Berdasarkan dokumen tersebut, model MT-10 dan MT-10 SP dibezakan dengan kod RN78 A dan RN78 B menggantikan kod RN45 A dan RN45 B yang digunakan bagi model sebelum ini.

Spesifikasi dinyatakan menunjukkan bahawa versi SP dan standard dibezakan dengan penggunaan komponen yang lebih premium namun kedua-duanya masih dihidupkan enjin CP4 998cc yang diambil dari YZF-R1.

Bagaimanapun, dokumen tersebut mendedahkan generasi baharu MT-10 ini tampil lebih berkuasa, 164hp dan 112Nm berbanding 158.2hp dan 111Nm sebelum ini.

Peningkatan kuasa itu juga dipercayai disumbangkan oleh sistem ekzos serba baharu.

Pada masa sama, peningkatan kuasa ini juga telah meningkatkan kelajuan maksima jentera kepada 250km/j berbanding 245km/j pada model sebelumnya.

Meskipun dokumen tersebut tidak mendedahkan gambar model baru itu namun melihat kepada ukuran dimensi dinyatakan, MT-10 2022 ini pastinya sah hadir dengan rekaan serba baharu selaras dengan kemas kini yang dilaksanakan terhadap varian MT-07 dan MT-09 2021.

Sementara itu,dokumen itu turut menyatakan MT-10 2022 ini tampil 2 kilogram lebih berat dengan 212kg bagi model standard dan 214kg bagi model SP.

Suzuki Hayabusa 2021 tiba di pengedar rasmi Suzuki Malaysia dengan harga RM111,200.

Harga tersebut diumumkan beberapa pengedar rasmi Suzuki Malaysia di laman sosial Facebook, hari ini.

Bagi tahun 2021, generasi ketiga Hayabusa ini tampil dengan penggunaan lampu LED penuh (depan dan belakang).

Suzuki turut menaik taraf enjin 4-inline 1,340cc Hayabusa bagi mencapai standard Euro 5 yang kini menawarkan 187.4hp pada 9,700rpm dan 150Nm pada 7,000rpm.

Angka tersebut sedikit menurun berbanding Hayabusa generasi kedua yang menawarkan 194hp dan 155Nm.

Bagaimanapun, enjin 16 Valve DOHC dengan penyejukan cecair itu kini lebih tahan lasak serta menawarkan pembakaran minyak lebih efisien dan mampu merekodkan kelajuan maksima (nominal) 299km/j.

Antara langkah pembaharuan diambil adalah dengan mengurangkan 1mm diameter dalam throttle body dan memanjangkan panjang paip intake kepada 12mm.

Menurut Suzuki, langkah ini melancarkan aliran kuasa enjin pada kelajuan rendah dan pertengahan.

Penggunaan Suzuki Side Feed Injector (S-SFI) juga menyumbang kepada peningkatan output kuasa serta tork.

Hayabusa 2021 ini turut didatangkan dengan sistem Ride-by-Wire Electronic Throttle dan Suzuki Clutch Assist System (SCAS) yang membantu meningkatkan respon enjin serta menjamin pertukaran gear yang lebih efisien.

Menariknya, Suzuki mengekalkan penggunaan kerangka twin-spar dan swingarm jenis aluminium.

Antara ciri menarik lain ditawarkan:

  • fork depan KYB (upside down) dengan salutan Diamond-Like-Carbon
  • monoshock belakang KYB
  • tayar Bridgestone Battlax Hypersport S22
  • gabungan meter jenis analog dan skrin TFT berwarna
  • Suzuki Intelligent Ride System (SIRS)
  • Bosch IMU 6-axis
  • Launch Control
  • Cruise Control (antara 31km/j hingga 200km/j)
  • Combined Brake System
  • Slope Dependent Control System
  • Hill Hold Control System
  • Emergency Stop Signal

Suzuki V-Strom 1050 XT kini boleh didapati di pengedar Suzuki Malaysia dengan harga jualan RM81,900.

Ini menjadikan V-Strom 1050 XT motosikal adventure bersesaran 1,000cc ke atas dengan harga paling rendah dalam pasaran berbanding jenama lain.

Menariknya, menerusi perkongsian beberapa pengedar di Facebook, V-Strom 1050XT itu juga akan ditawarkan dengan dua panniers kiri dan kanan.

V-Strom 1050 XT dikuasakan dengan enjin silinder berkembar (Euro 5) yang menawarkan 106hp pada 8,500rpm dan 99Nm pada 6,000rpm.

Menariknya, V-Strom baharu ini tampil dengan rekaan serta warna yang diinspirasikan daripada Suzuki DR BIG dan DR-Z Rali yang popular pada era 80an.

*Suzuki V-Strom 650XT 2021

Antara ciri lain ditawarkan adalah Cornering ABS, Hill-hold Control, Cruise Control dan tempat duduk boleh laras.

Sementara itu, Suzuki Malaysia telah pun melancarkan V-Strom 650 XT untuk pasaran tempatan yang ditawarkan pada harga RM37,989.00.

Farres Putra telah pun dinobat juara keseluruhan FIM MiniGP Malaysia Series sekaligus bakal menggalas cabaran negara ke Kejuaraan Dunia yang akan berlangsung di Valencia, Sepanyol, November ini.

Pelumba 13 tahun itu bakal ditemani Emil Idzhar dan Farish Hafiy yang menamatkan kejohanan di tempat kedua dan ketiga ke Valencia.

Farres muncul juara selepas mengutip 135 mata diikuti Emil dengan 122 mata dan Farish dengan 120 mata.

Berbeza dengan kejuaraan sebelumnya, edisi kali ini mendapat pengiktirafan Dorna yang juga merupakan pemegang hak penganjuran MotoGP.

Pengiktirafan ini juga menyaksikan para pelumba bersaing dengan jentera Ohvale 160cc buatan Itali dan melibatkan bakat muda berusia antara 11 hingga 13 tahun.

Sementara itu, pengurus pasukan ZK Racing dan bekas pelumba negara, Zulfahmi Khairuddin luah rasa gembira dengan pusingan kali ini.

“Saya amat gembira kerana perlumbaan berlangsung dan berakhir dengan selamat kerana pertama kali, mereka berlumba di litar basah, yang tentunya lebih mencabar.

“Apapun, saya gembira para pelumba pertama kali mendapat pengalaman untuk berlumba secara kompetitif di litar basah, yang sememangnya penting untuk perkembangan karier seorang pelumba.

“Saya juga gembira kerana kita akhirnya dapat memilih tiga pelumba teratas dalam FIM MiniGP Malaysia Series untuk bersaing pada kejuaraan dunia di Valencia. Saya yakin mereka mampu beraksi dengan baik dan mempamerkan prestasi membanggakan pada kejuaraan dunia ini,” jelasnya.

Walaupun tanpa kehadiran penonton ekoran mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat, pusingan kedua Vios Challenge Musim Ke-4 berlangsung meriah dengan dua juta tontonan secara atas talian berjaya dicatat.

Aksi kedua pada Ahad berlangsung lebih sengit dan mencabar berbanding hari pertama ekoran hujan lebat melanda Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Bagaimanapun, senario itu memberikan peluang keada pelumba M7 Japan Project Team, Syafiq Ali untuk melakar kemenangan diikuti Mitchell Cheah (23 Motors) kedua sementara tempat ketiga jadi milik Faidzil Alang.

Saingan kelas Sporting pula menyaksikan Adam Khalid (Crestmax Motorsport) melintasi garisan penamat di tempat pertama meskipun memulakan aksi di petak ke-15.

Mirza Syahmi Mahzan (Aylezo Motorsport) menemami Adam di tempat kedua diikuti Eric Yong, ketiga.

Sementara itu, kategori Rookie disandang pelumba berusia 17 tahun, Amer Harris diikuti Mika Hakimi kedua dan Putera Adam, ketiga.

Pada masa sama, selebriti tanah air, Shukri Yahaya meneruskan rentak cemerlang selepas memperoleh kemenangan kedua dengan kelebihan 7.1 saat di hadapan Nabil Ahmad (kedua) dan Zizan Razak (ketiga).

Vios Challenge akan kembali bersambung dengan pusingan ketiga di ‘venue’ sama pada 20 hingga 21 November ini namun akan mengambil tempat di sebelah malam.

Honda tekad kembali memperkuatkan legasi CBR dengan memperkenalkan jentera ‘superbike’ serba baharu berdasarkan paten baharu yang didedahkan, baru-baru ini.

Honda CBR sememanngya jentera ikonik dalam segmen ‘superbike’ sejak kali pertama diperkenalkan menerusi CBR900RR Fireblade, 31 tahun yang lalu.

Bagaimanapun, dengan kemunculan beberapa jentera baharu dari pesaing lain antaranya Ducati Panigale V4, Aprilia RSV4, Kawasaki ZX-10R dan Yamaha R1M di samping kegagalan memberi saingan di Kejuaraan Superbike Dunia (WorldSBK) sejak kali terakhir memenanginya pada 2007, pengeluar motosikal Jepun itu tekad mengambil langkah lebih drastik.

Paten terbaru yang difailkan di Jepun itu mendedahkan beberapa ciri unik dan luar biasa terutamanya bahagian chasis.

Berbanding menggunakan chasis alumimium sebagai asas utama, enjin empat-silinder melintang telah dijadikan sebagai struktur utama kerangka dengan beberapa bahagian chasis disambung kepada enjin secara terus.

Bahagian depan chasis pula menempatkan kotak udara serta beberapa ruang bagi memuatkan komponen elektronik.

Sementara itu, aspek paling mencuri tumpuan adalah bahagian tangki dan tempat duduk yang digabung menjadi satu unit.

Menurut paten tersebut, bahagian tangki dan tempat duduk mengguna pakai bahan jenis gentian karbon dan disambung kepada bahagian enjin.

Ketiadaan ‘subframe’ merupakan inisiatif Honda bagi mengurangkan berat keseluruhan jentera.

Bukan itu sahaja, paten itu turut mendedahkan paparan meter yang menggabungkan skrin analog dengan 14,000rpm dan LCD digital serta penggunaan klac jenis hidraulik.

Mengambil kira tahap perincian paten tersebut berbanding paten lains ebelum ini jelas memberi bayangan model ini bukanlah sekadar rekaan prototaip malah bakal dibawa ke peringkat pengeluaran tidak lama lagi.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube