Bikesrepublic

Berita Terkini

Tahun 2022 menjadi tahun penting buat Aprilia apabila meraikan ulang tahun ke-30 kejayaan merangkul kejuaran dunia Grand Prix sulung. 

Menariknya, tahun ini juga menyaksikan Aprilia melakar pencapaian penting di pentas MotoGP, dengan Aleix Espargaro memenangi GP Argentina manakal rakan sepasukan Maverick Vinales telah pun merekodkan podium keduanya di GP San Marino, pada Ahad.

Sehubungan itu, Aprilia memperkenalkan RSV4 XTrenta bagi meraikan pencapaian pengeluar motosikal Itali itu.

Berasaskan jentera superbike Aprilia RSV4, jentera RSV4 XTrenta ini merupakan mesin khas dibina untuk litar perlumbaan (track-only). 

Menariknya, RSV4 XTrenta ini disuntik dengan pelbagai ciri sama yang terdapat pada jentera MotoGP Aprilia, RS-GP 22 yang ditunggang Espargaro dan Vinales.

Pertamanya, RSV4 XTrenta ini dibangunkan dengan proses PAN Compositi yang sama diguna pakai pasukan MotoGP. 

Hasilnya, Aprilia RSV4 XTrenta ini menawarkan pakej aerodinamik dan winglet seperti yang terdapat pada RS-GP.

Bukan itu sahaja, RSV4 XTrenta turut tampil dengan ciri ‘under-wing’ atau ‘The Spoon’ yang dipasang pada bahagian bawah swingarm dan dihadapan tayar belakang.

‘The Spoon’ tersebut berfungsi mengawal keadaan suhu tayar belakang bagi memastikan cengkaman berada di tahap optimum.

Ini pertama kalinya sebuah motosikal ‘production’ dilengkapi ciri tersebut.

Selain itu, Aprilia turut mengemas kini enjin V4 1,099cc yang kini menghasilkan 230hp. Ekzos titanium yang dibangunkan bersama rakan kerjasama SC-Project turut menyumbang kepada peningkatan kuasa mendadak itu.

Pada masa sama, penggunaan komponen ringan (terutamanya gentian karbon) juga menyaksikan Aprilia RSV4 XTrenta hanyalah seberat 165kg.

Antara ciri unik lain ditawarkan termasuk,  IMU Magneti Marelli, panel butang Jetprime, suspensi Ohlins dan rim magnesium Marchesini M7R Genesi.

Sementara itu, brek pula dikendalikan kaliper monoblock Brembo GP4-MS yang dipadankan bersama cakera brek T-drive 330mm.

Menurut Aprilia, tempahan bagi RSV4 XTrenta ini boleh dibuat bermula Selasa (6 September) pada harga EUR50,000 (RM222,400). 

Samseng jalanan yang membuat aksi “superman” di Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE) dan Lebuh Raya Shah Alam (Kesas), telah ditahan semalam (Ahad) dalam Operasi Khas Samseng Jalanan sepasukan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman bermula jam 12.40 tengah malam.

Menurut laporan Sinar Harian, tangkapan pertama membabitkan empat penunggang berusia 17 hingga 20 tahun selepas dikesan melakukan aksi berbahaya itu di Lebuhraya Kesas.

“Aksi yang dilakukan adalah meniarap dengan meluruskan kaki ke belakang (superman), bersaing sesama sendiri serta zig-zag,” katanya.

Sementara itu, tangkapan seterusnya telah menahan enam lagi penunggang berusia lingkungan 15 hingga 23 tahun secara berasingan.

Selain aksi “superman” itu, enam penunggang terbabit turut dikesan melakukan aksi samseng jalanan zig-zag.

Kesemua motosikal jenis Yamaha Lagenda, Yamaha Y15ZR, Honda Wave, Honda RS150 dan Yamaha LC 135 yang digunakan mereka disita untuk tindakan lanjut.

“Empat penunggang telah dibawa ke Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan manakala enam lagi dibawa dan BSPT IPD Shah Alam.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” tegas sumber.

Dua motosikal berkuasa tinggi ditunggang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia terbabit kemalangan dipercayai langgar lari di Kilometer (KM) 83.4 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) menghala utara, mengakibatkan seorang maut dan seorang lagi patah kaki kanan.

Mangsa yang juga Timbalan Penolong Pengarah Imigresen, Muhammad Nizam Samsudin, 46, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Insiden itu turut menyebabkan Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Kanan, Zaili Nizam Muhammad, 43, mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini, untuk rawatan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan, berkata nahas kira-kira jam 9.30 pagi itu berlaku apabila sebuah kereta dari arah sama didakwa merempuh motosikal ditunggang Muhammad Nizam.

“Perlanggaran itu menyebabkan motosikal ditunggang Muhammad Nizam hilang kawalan lalu terbabas ke lorong kecemasan.

“Pada masa sama, rakannya yang sedang menunggang motosikal di belakang dalam lorong kecemasan pula dipercayai tidak sempat mengelak dan melanggar motosikal mangsa.

“Kejadian itu menyebabkan Muhammad Nizam disahkan meninggal dunia di tempat kemalangan akibat parah di kepala. Seorang lagi mangsa patah kaki kanan, dan menjalani ujian sinar-X pada kepala di hospital,” katanya.

Zaidy berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika kedua-dua lelaki itu dalam perjalanan menghala ke utara dengan menunggang motosikal Kawasaki KLE650-C masing-masing.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua penunggang motosikal itu bertugas sebagai pegawai Imigresen di Depoh Imigresen Sementara Sungai Bakap, Pulau Pinang.

“Kita juga sedang mengesan pemilik kereta yang didakwa terbabit dalam kemalangan itu. Hasil siasatan awal mendapati pemandunya dipercayai melarikan diri,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian itu diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Fasa pertama projek Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak kini 86% siap, menurut Menteri Kerja Raya Fadillah Yusof.

Beliau berkata beberapa bahagian lagi lebuh raya itu dijangka dibuka tahun ini dan tiga lagi bahagian di Sarikei, Bukit Begunan dan Lambir dijangka siap tahun depan.

“Tiga bahagian itu berdepan pelbagai cabaran termasuk tapak yang perlu diteliti semula.

“Malah ada yang memerlukan pemprosesan semula reka bentuk berikutan keadaan muka bumi yang tidak sesuai,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Sarawak Media Engagement di sini malam tadi.

Lebuhraya Pan Borneo Fasa 1 bernilai RM16 bilion melibatkan pembinaan jalan sepanjang 786km dari Telok Melano di hujung paling selatan negeri ini, ke Miri di utara.

Sementara itu, Fadillah berkata kementerian kewangan juga sedang memuktamadkan aspek perolehan bagi projek Fasa 2 Jalan Hubungan Sarawak-Sabah (SSLR) dan projek Lebuhraya Trans Borneo (LTB) dan peruntukan siling sebanyak RM12 bilion telah ditetapkan bagi kedua-dua projek itu.

“Kami juga berharap dapat memuktamadkan pemberian kontrak kepada kontraktor pada tahun ini dan awal tahun depan projek ini akan dapat dimulakan,” katanya.

Pada 7 Ogos, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan persekutuan telah meluluskan Projek SSLR Fasa 2 dan projek LTB, dan pembinaan akan dimulakan seawal tahun depan.

Ismail berkata penyelidikan teknikal bagi projek SSLR dan LTB Fasa 2 yang menghubungkan Miri, Limbang dan Lawas kini di peringkat akhir, dengan pembinaan dijangka mengambil masa tiga hingga lima tahun.

Tambahnya, projek itu bukan sahaja membolehkan penduduk utara Sarawak sampai ke Sabah melalui dua pilihan rangkaian jalan raya tetapi juga memberi manfaat kepada penduduk di Mulu, Long Seridan, Nanga Medamit, Long Lopeng, Ba’kelalan dan Merarap yang kini bergantung kepada jalan balak untuk berulang-alik. – Free Malaysia Today

Kawasaki telah menaik taraf dua model 650cc, Ninja 650 dan Z650 dengan fungsi ‘traction control’ bagi tahun 2023.

Kedua-dua model terbabit kini tampil dengan tiga peringkat Kawasaki Traction Control (KTRC) yang boleh diselaraskan mengikut kesesuaian.

Dalam mod 1, sistem tersebut akan mengukur kadar pusingan tayar bagi meningkatkan tahap cengkaman sewaktu masuk dan keluar dari selekoh.

Sementara itu mod 2 pula boleh diaktifkan sekiranya menunggang di atas permukaan licin – jalan basah, berpasir dan berbatu. Mod 2 akan memastikan ‘traction control’ bertindak lebih cepat bagi mengimbangkan motosikal.

Bagi yang mahukan cabaran dan tunggangan lasak terutamanya di litar, pengguna juga boleh menyahaktifkan KTRC sekaligus.

Pengguna boleh akses fungsi KTRC menerusi paparan skrin TFT berwarna yang disertakan.

Bagaimanapun, kedua-dua model ini kekal dikuasakan enjin parallel-twin 649cc yang menawarkan 67.3hp pada 8,000rpm dan 65.7Nm pada 6,500rpm.

Penggunaan kerangka jenis steel trellis juga dikekalkan dan dipadankan bersama fork teleskopik 41mm di depan dan penyerap hentakan jenis ‘back-link’ di belakang.

Adakah model 2023 ini akan turut diperkenalkan untuk pasaran tempatan menerusi pengedar baharu MODENAS? Kita tunggu sahaja pengumuman rasmi nanti.  

Francesco Bagnaia mencatat rekod baharu bersama Ducati apabila muncul pelumba pertama pasukan itu yang berjaya merekodkan empat kemenangan berturut-turut selepas memenangi pusingan GP San Marino di Litar Misano, pada Ahad.

Pelumba Itali itu mempamerkan tunggangan cemerlang dan berjaya menepis kemaraan Enea Bastianini dan Maverick Vinales untuk menang di Misano.

Bermula di petak kelima ternyata tidak memberi kesan terhadap Bagnaia untuk merebbut kelompok depan.

Rakan sepasukan, Jack Miller, yang bermula di petak pertama buat julung kalinya selepas empat tahun, gagal menamatkan perlumbaan apabila kemalangan di lap kedua.

Tidak lama selepas itu, Marco Bezzechi turut menambah kumpulan kemalangan apabila terbabas di lap sama pada Turn 10.

Terdahulu, Johann Zarco, Michelle Pirro dan Pol Espargaro terlibat dalam kemalangan tiga pelumba di Turn 1.

Sementara itu, Bastianini yang mendahului perlumbaan selepas kemalangan Miller gagal mengekalkan status pendahulu apabila berjaya dipintas Bagnaia.

Vinales kemudiannya memintas Bastianini dan mula mengekori rapat Bagnaia.

Bagaimanapun, Bagnaia cekal mengekalkan peneraju perlumbaan dengan Bastianini kembali di tempat kedua sementara Vinales semakin ketinggalan di tempat ketiga.

Memasuki lap terakhir, Bastianini cuba untuk membuat pancungan terakhir namun Bagnaia berjaya mengesahkan kemenangan selepas kesudahan ‘photo-finish’ dengan kelebihan 0.034s. 

Dalam perkembangan sama, pertahan juara, Fabio Quartararo terpaksa berpuas hati dengna kedudukan kelima selepas percubaan untuk memintas Luca Marini di tempat keempat gagal.

Walaupun terus mendahului kejuaraan dengan 211 mata namun Bagnaia semakin menghampiri dengan perbezaan 30 mata. 

Sementara itu, pelumba WithU Yamaha RNF, Andrea Dovizioso mengucapkan selamat tinggal kepada kariernya di MotoGP selepas membuat keputusan untuk bersara. 

Menariknya, dalam penampilan terakhir di Misano, Dovizioso berjaya menyumbang mata selepas menamatkan saingan di tempat ke-12.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube