Bikesrepublic

Berita Terkini

Jorge Lorenzo sekali lagi berkongsi pendapatnya tentang perlumbaan MotoGP di di saluran YouTube 99seconds miliknya.

Bekas tiga kali juara dunia MotoGP itu kali ini menganalis persembahan pelumba veteran, Valentino Rossi di GP Sepanyol, baru-baru ini.

Seperti video sebelum ini, Lorenzo juga tidak berselindung berkongsi pendapatnya tentang prestasi tujuh kali juara dunia MotoGP itu di Jerez.

“Saya mengharapkan sesuatu yang lebih baik dari Rossi di Jerez atau sekurang-kurangnya memperbaiki keputusan perlumbaan.

“Dia juga jarang muncul di kaca tv dan beberapa kali dia tersasar dari landasan.

“Bukan sahaja dia lembab, pergerakan dia juga perlahan. Kita akan lihat sekiranya dia mampu membuat kejutan selepas ini,” jelasnya.

Tonton analisis Jorge Lorenzo di saluran 99seconds di bawah:

Selain dari Rossi, Lorenzo turut menganalisis kemenangan Jack Miller, dan meskipun dia memuji pelumba Australia itu, Lorenzo percaya Miller kurang kejituan untuk melakar kemenangan.

Aksi MotoGP kembali bersambung minggu depan di Litar Le Mans.

Yamaha telah memuat naik video teaser dengan tajuk R/World di laman YouTube rasmi Yamaha Motor Europe.

Meskipun video berdurasi 28 saat itu tidak mendedahkan sebarang bayang motosikal namun berdasarkan beberapa petunjuk, klip tersebut mungkin merujuk kepada model YZR-R7.

Ini kerana dalam video tersebut memaparkan bukan sahaja litar lumba malah jalan raya sekaligus beri bayangan sebuah jentera yang sesuai ditunggang dalam dua senario berbeza.

Kemudian di penghujung video, Yamaha turut memuatkan bunyi yang seakan dihasilkan sebuah enjin CP2 689cc yang terdapat pada MT-07, platform sama yang dicanang akan menggerakkan R7.

Khabar angin mengenai Yamaha R7 dengan fairing penuh berlandaskan enjin MT-07 telah pun berlegar sejak hujung tahun lalu.

Langkah itu dilihat relevan dalam usaha Yamaha memberi saingan kepada segmen motosikal pertengahan yang ketika ini rancak dengan Aprilia RS660, Tuono 660, Honda CBR650R dan Ninja 650.

Yamaha dijangka akan berkongsi beberapa video ‘teaser’ lain sebelum mengumumkan tarikh pelancaran model tersebut.

Astra Honda Motor (AHM) telah melancarkan CB150R Streetfire 2021 bagi pasaran Indonesia.

Bagi tahun 2021, CB150R Streetfire tampil dengan rekaan lebih agresif dan moden serta menampilkan rupa seakan motosikal berkuasa tinggi.

Perubahan ketara adalah rekaan keseluruhan yang tampak lebih besar di samping dinaik taraf dengan ciri lebih menarik antaranya penggunaan fork depan 37mm (inverted) dari Showa dan handlebar jenis ‘tapered’.

Model 2021 ini juga tampil dengan paparan digital penuh yang moden dengan pencahayaan jelas berbanding model sebelumnya.

Honda CB150R Streetfire ini dilengkapi enjin 149cc, DOHC dengan penyejukan cecair yang menawarkan 16hp pada 9,000rpm dan 13.7Nm pada 7,000rpm serta dipadankan bersama transmisi 6-kelajuan.

Antara ciri lain ditawarkan adalah:

  • lampu LED penuh
  • tangki 12L
  • tayar 100/80-17 depan
  • tayar 130/7017 belakang
  • cakera brek
  • berat 134kg

Pada masa sama, AHM turut menawarkan varian Special Edition (SE) yang didatangkan dengan pilihan warna Burnt Titanium serta pelindung enjin dan logo Honda berbentuk 3D.

Menurut laporan rakan media di Indonesia Iwanbanaran.com, Honda CB150R Streetfire ini ditawarkan pada harga IDR29,700,000 (RM8,558) manakala varian SE ditawarkan pada harga IDR30,700,000 (RM8,846).

Benelli, anak syarikat milik Qianjiang Motorcycle dengan rasminya melancarkan 302R 2021 di China.

Benelli 302R bukanlah model popular jika dibandingkan dengan jenama Jepun lain namun berdasarkan model baharu yang telah dinaik taraf dari pelbagai aspek, model ini dijangka mamu memberi saingan lebih kompetitif.

Bagi 2021, Benelli 302R tampil dengan rekaan lampu projektor melintang yang diapit dengan lampu LED DRL (Daytime Running Light) di kiri dan kanan sekaligus menghadirkan imej lebih moden.

Benelli turut mengaplikasikan corong udara disekeliling panel lampu depan dan di tempat duduk pillion yang bukan sahaja mendatangkan rupa agresif malah meningkatkan downforce.

Namun, ketika bahagian depan dan belakang telah direka semula, panel sisi dan tangki 14L yang terdapat pada model sebelumnya telah dibawa ke model baharu ini.

Pada masa sama, Benelli turut mengekalkan penggunaan fork USD 41mm namun kali ini boleh diselaraskan (preload).

Sementara itu, enjin 300cc parallel-twin yang terdapat pada Benelli 302R ini turut dinaik taraf bagi mencapai standard Euro 5 namun kini menawarkan 35hp pada 11,000rpm dan 27Nm pada 9,000rpm berbanding 38hp dan 26.5Nm pada model sebelumnya.

Bagaimanapun, bagi mengimbangi penurunan kuasa, Benelli 302R baharu ini adalah 22 kilogram lebih ringan berbanding model sebelumnya.

Bagi menampilkan konsep lebih moden, model 2021 ini turut didatangkan dengan skrin TFT berwarna setaraf dengan motosikal lain dalam segmennya.

Seperti model sebelumnya, Benelli 302R 2021 ini juga dijangka akan menembusi pasaran Malaysia tidak lama lagi.

Susulan pengumuman penarikan diri jenama Mitsubishi di United Kingdom, pengimport jenama itu, The Colt Car Company membuat keputusan untuk melepaskan beberapa koleksi babitkan model Evo.

Berlangsung di Automotive Auctions, pembeli diberi peluang untuk membida model Mitsubishi yang diidamkan.

Bagaimanapun, fokus utama sesi lelongan itu membabitkan sebuah Mitsubishi Evo VI Edisi Tommi Makinen dengan perbatuan serendah 10,000km telah terjual dengan harga GBP100,100 (RM573,200)!

Penjualan itu mengatasi rekod jualan GBP99,000 (RM566,900) melibatkan sebuah Evo IX yang dijual empat tahun lalu.

Mitsubishi memperkenalkan model Evo VI Edisi Tommi Makinen pada Januari 2000 sebagai penghargaan kepada kejayaan pelumba rali itu merangkul kejuaraan dunia rali WRC kali keempat berturut-turut.

Berikut senarai model Mitsubishi Evo lain yang turut terjual:

  • Mitsubishi Lancer Evolution IX MR FQ-360 oleh HKS – GBP68,900 (RM394,500)
  • Mitsubishi Evo X model 40 (model terakhir edisi FQ-440 MR) – GBP58,100 (RM332,700)
  • Mitsubishi Lancer Evo IX Group N Works Rally Car – GBP61,700 (RM353,300)
  • Mitsubishi Mk1 Colt Lancer 1.4 Standard 2-Pintu – GBP15,000 (RM85,900)
  • Mitsubishi Colt Galant 2000 GLII – GBP11,600 (RM66,400)

Beberapa model lain turut terjual antaranya Mitsubishi Galant GLSi rally replica, Mk1 Shotgun, Jeep J27, Mk2 Shotgun V6 SWB, Outlander PHEV 2015 dan L200 Desert Warrior.

Jika anda antara yang telah pun ‘terbeli’ Panigale V4 2021 dari Ducati Malaysia namun masih cuba fahami segala fungsi yang ditawarkan, jangan risau, anda hanya perlu mengikuti perkongsian terbaru oleh Ducati.

Ducati bakal berkongsi tujuh siri video di laman rasmi syarikat itu dan di saluran YouTube yang memfokuskan terhadap memahami jentera Panigale V4 2021 dengan lebih teliti.

Menariknya, segala info tersebut akan disampaikan sendiri penguji jentera rasmi Ducati, Alessandro Valia dan Ketua Pembangunan Superbike Ducati, Carlo Ricci Maccarini.

Video tersebut yang berlatarbelakangkan Litar Misano akan berkongsi cara betul untuk mengguna pakai ciri yang ditawarkan termasuk aspek elektronik yang boleh membantu meningkatkan prestasi terutamanya bagi yang mahu memasuki litar.

Tujuh siri video tersebut membabitkan topik berikut:

  • EP1:Product Overview
  • EP2:Product Novelties
  • EP3:Cornering ABS Settings
  • EP4:Cornering ABS Front Only
  • EP5:Ohlins Electronic Suspension Control
  • EP6:Ducati Traction Control EVO 3
  • EP7:Riding Mode Settings

Ketika ini, episod pertama dan kedua telah pun dimuat naik ke laman YouTube Ducati sementara baki lima episod akan disiarkan sekitar bulan ini.

Perlu diingatkan video tersebut disampaikan dalam Bahasa Itali namun dengan sari kata Bahasa Inggeris.

EP1:Product Overview

EP2:Product Novelties

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube