Bikesrepublic

Berita Terkini

Honda dengan rasminya memperkenalkan Honda CRF1100L Africa Twin yang telah dinaik taraf bagi tahun 2024. 

Seperti model sebelumnya, motosikal ‘adventure’ dari Honda itu hadir dengan dua varian, CRF1100L Africa Twin dan CRF1100L Africa Twin Adventure Sports. 

Enjin

Untuk rekod, model 2024 ini masih lagi dikuasakan enjin parallel-twin 1,084cc yang sama namun telah dipertingkat bagi tahun 2024. Pertamanya, 112Nm tork hadir lebih awal iaitu pada 5,500rpm berbanding 6,250rpm sebelum ini. 

Menurut Honda, tork tersebut tiba lebih awal hasil nisbah mampatan 10.5:1 berbanding 10.1:1 sebelum ini. Perkara itu juga dicapai dengan mengubah ‘valve timing’ dan ‘intake ports’ serta menala semula ECU. 

Kelengkapan

Honda juga memastikan suspensi Showa EERA (separa aktif) kini didatangkan secara standard pada kedua-dua varian selain daripada tayar ‘tubeless’ Metzeler Karoo Street dan penghadang angin baharu dengan lima tetapan. Selain itu, bagi mengurangkan rintangan angin, Honda juga mereka semula panel badan di hadapan. 

Menyedari ramai yang menggunakan varian Adventure Sport di jalan raya berbanding ‘off-road’, Honda juga memperkenalkan rim 19-inci baharu dengan tayar depan yang lebih lebar. Fork depan juga kini menawarkan jarak pergerakan 20mm lebih pendek. 

Tidak cukup dengan itu, Honda juga menaik taraf tempat duduk yang kini 15mm lebih tebal berbanding model terdahulu. 

Dalam pada itu, Honda turut menurunkan ketinggian tempat duduk dari 850mm hingga 870mm kepada 835mm hingga 855mm. Tempat duduk itu juga boleh diturunkan kepada 795mm menggunakan aksesori tambahan. 

Menurut Honda, Honda CRF1100L Africa Twin 2024 hadir dengan dua pilihan warna, Grand Prix Red dan Matt Ballistic Black Metallic sementara varian Adventure Sports ditawarkan dengan warna Matt Ballistic Black Metallic dan Pearl Glare White Tricolour. 

GALERI: HONDA CRF1100L AFRICA TWIN 2024

Honda Racing Corporation (HRC) dengan rasminya mengumumkan pelumba tonggak pasukan Repsol Honda MotoGP, Marc Marquez, akan meninggalkan pasukan itu pada penghujung musim 2023. 

HRC membuat pengumuman itu dalam satu kenyataan rasmi yang diterbitkan hari ini. Perkembangan terbaru itu bermakna kerjasama 11 tahun antara Honda dan Marquez berakhir dengan pelumba Sepanyol itu menyumbang enam kejuaraan dunia, 59 kemenangan dan 101 podium. 

Bayangan Marquez meninggalkan pasukan itu bertiup kencang beberapa minggu ini dengan Ducati menyatakan minat terhadap khidmat pelumba bintang itu. 

Meskipun begitu, Marquez dan Honda akan terus memberi saingan sengit bagi baki enam pusingan lagi. 

Polis Diraja Malaysia Kontinjen Sabah telah menerima lapan unit motosikal berkuasa tinggi yang disumbangkan Kerajaan Sabah.

Penyerahan lapan motosikal jenis Harley-Davidson Low Rider ST itu telah diadakan dalam satu majlis khas yang disempurnakan Ketua Menteri Sabah,  Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor. 

Polis Sabah dalam satu kenyataan menjelaskan motosikal Harley-Davidson tersebut akan digunakan untuk penugasan khas selain daripada membantu mengatasi masalah kekurangan aset terutamanya motosikal dalam penugasan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sabah.

Untuk rekod rekod, Harley-Davidson Soft Tail Low Rider ST itu dilengkapi enjin V-Twin 1,923cc dan menawarkan 105hp dan 168Nm pada 3,500rpm. 

Tayangan terbaru Ducati World Premiere 2024 dengan rasminya memperkenalkan Ducati DesertX Rally 2024.

Dibangunkan daripada Ducati DesertX sedia ada, versi Rally ini menawarkan pelbagai peningkatan terbaru terutamanya dalam aspek suspensi dan rim.

Pertamanya, Ducati DesertX Rally masih lagi dikuasakan enjin 937cc Testastretta 11-darjah yang menawarkan 110hp dan 92Nm.

Namun, segalanya tertumpu kepada pakej suspensi yang kini dinaik taraf dengan fork depan 48mm jenis ‘closed-cartridge’ dari KYB yang menawarkan tetapan ‘rebound dan compression’. Penyerap hentak KYB di belakang pula menawarkan tetapan ‘compression’ serta preload dan rebound.

Penggunaan suspensi baharu ini juga menyaksikan jarak kelegaan tanah yang lebih baik dengan 280mm. Bagi meningkatkan kecekapan kawalan, DesertX Rally ini juga dilengkapi dengan ‘steering damper’ dari Ohlins.

Sementara itu, DesertX Rally ini juga mengalami transformasi signifikan di bahagian roda yang kini menempatkan rim 21-inci depan dan 180inci belakang jenama Excel Takasago dengan lidi (spoked) karbon. Rim baharu ini juga 0.5kg lebih ringan berbanding rim stok pada DesertX standard.

Antara ciri tambahan lain ditawarkan termasuk ‘mudguard’ depan baharu dengan kabel brek terpisah selain daripada pedal brek dan gear boleh laras. Juga eksklusif pada varian Rally adalah penggunaan livery Iron Giant.

GALERI: DUCATI DESERTX RALLY 2024

Sebelum ini kami telah pun melaporkan bahawa Modenas akan melancarkan skuter maxi premium, KYMCO AK550 untuk pasaran tempatan tidak lama lagi. 

Beberapa peminat Modenas Elegan EX250 telah pun menyaksikan model itu dengan lebih dekat ketika sesi lawatan yang diadakan pada Isnin. 

Berdasarkan tinjauan di Facebook pemilik Modenas Elegan 250, ada di antara mereka yang telah berkongsi pengalaman mengenai lawatan tersebut semalam. 

Menerusi perkongsian Fikry Azizan, Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Roslan Roskan memberitahu kumpulan lawatan tersebut bahawa pelancaran AK550 itu akan diadakan sekitar Januari 2024. Namun pada awalnya, model itu sepatutnya dilancarkan pada bulan Julai/Ogos. 

Menariknya, Roslan memberitahu bahawa model itu akan dijual sebagai model CBU (complete built unit). Namun tidak dinyatakan sama ada akan dijual sebagai model CKD selepas itu.

Pada masa sama, perkongsian itu juga menyatakan bahawa AK550 tersebut akan dijual pada harga lebih rendah berbanding Yamaha TMAX 560 yang ketika ini dipasarkan pada harga sekitar RM72k. 

Baru-baru ini tular rakaman video yang memaparkan seorang lelaki telah bertindak menumbung dan menendang seorang penghantar makanan di laman media sosial.

Insiden tersebut dipercayai berlaku pada Ahad apabila penghantar makanan berusia 21 tahun itu telah ditahan oleh sebuah kereta yang dinaiki tiga lelaki.

Menurut Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong, polis kini sedang mencari lelaki dalam video berkenaan selepas menerima laporan pada tengah malam tadi.

“Hasil siasatan mendapati pada hari kejadian sekitar 7.15 malam, mangsa yang menunggang motosikal membunyikan hon pada sebuah kereta kerana memandu secara berbahaya dan hampir melanggar mangsa.

Pemandu kenderaan itu kemudian menghalang pergerakan mangsa di persimpangan lampu isyarat. Salah seorang daripada lelaki berkenaan kemudian menolak mangsa sehingga jatuh dari motosikal serta mencekik, menumbuk muka serta menendang perut dan kaki mangsa beberapa kali,” jelasnya.

Dalam pada itu, polis menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian hadir ke balai polis berdekatan atau hubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-33762222.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube