Bikesrepublic

Berita Terkini

Setahun selepas diperkenalkan menerusi Ducati World Premier (DWP) 2022 yang disiarkan Disember tahun lalu, motosikal ‘adventure’ serba baharu, Ducati DesertX akhirnya tiba di Malaysia dengan harga jualan RM112,900.

Ducati DesertX bakal sertai pasaran ADV yang ketika ini cukup kompetitif dengan persaingan dari Triumph Tiger 900 Rally, Honda CRF1100L Africa Twin dan akan datang, MV Agusta Lucky Explorer 9.5.

Menurut Ducati, DesertX mendapat inspirasi daripada jentera Cagiva Elefant yang suatu ketika dulu beraksi di Rali Paris-Dakar pada era 80an dan 90an.

Tampil dengan pilihan warna serba putih dengan gabungan kemasan merah seakan menyerupai penaja Lucky Strike pada Elefant, DesertX dilengkapi dengan ciri off-road tegar.

Sistem suspensi pula hadir menerusi fork depan USD 46mm dari Kayaba (boleh laras) dan monoshock Kayaba (boleh laras).

Antara ciri menarik lain ditawarkan:

  • Wheelie Control
  • Engine Brake Control
  • Ducati Quick Shift
  • Cruise Control
  • Ducati Brake Light
  • USB power Socket
  • Steering damper

Sementara itu, meskipun tampil dengan ciri adventure, Ducati DesertX ini juga sesuai untuk tunggangan jarak jauh hasil bantuan tangki 21L. Menariknya kapasiti tangki boleh ditambah lagi 8L yang boleh dipasang di bahagia subframe kanan jentera.

Aspek membrek pula dikendalikan menerusi cakera brek depan 320mm yang dipadankan bersama kaliper brek Brembo M50 sambil dibantu Cornering ABS oleh Bosch.

Ducati DesertX ini dikuasakan enjin Testastretta 937cc 11-darjah yang berkemampuan menghasilkan 110hp dan 92Nm.

Meskipun enjin dipinjamkan dari model Hypermotard dan SuperSport 950, Ducati telah mengemaskini enjin tersebut dengan komponen yang lebih ringan dan berjaya membuang sebanyak 1.7kg.

Tempat duduk penunggang dan pillion juga lebih selesa dan boleh diselaraskan mengikut keselesaan. Menurut Ducati, tempat duduk pillion juga boleh ditanggalkan.

Pada masa sama, bahagian papan pemuka yang menempatkan skrin TFT 5″ juga lebih tinggi bagi membolehkan penunggang melihat dengan lebih mudah meskipun sewaktu berdiri.

Ducati DesertX ini menawarkan enam mod tunggangan yang merangkumi Sport, Touring, Urban, Wet, Enduro dan Rally. Penunggang juga boleh mengubah Power Mode mengikut keselesaan.

GALERI: DUCATI DESERTX

Juara dunia MotoGP musim 2021, Fabio Quartararo akan mengenakan helmet HJC bagi musim 2023 sekaligus meninggalkan helmet jenama Scorpion.

Selepas beberapa tahun menyarung helmet Scorpion, pelumba Monster Energy Yamaha itu akan beralih ke HJC musim baru ini. 

Pelumba kelahiran Perancis itu memilih HJC RPHA 1, sebuah helmet dengan standard FIM serba baharu yang dihasilkan jenama dari Korea Selatan itu. 

Untuk rekod, Fabio Quartararo sebelum ini memakai Scorpion EXO-R1 Air Fabio Monster. 

Menariknya, Quartararo sebelum ini dikaitkan dengan helmet jenama SHARK ekoran helmet tersebut merupakan buatan Perancis dan turut dipakai rakan senegara seperti Johann Zarco ketika ini.

MForce Bike Holdings Sdn Bhd bakal menggalas tugas sebagai pengedar baharu  jenama CFMoto di Malaysia dengan pengumuman rasmi bakal dilakukan dalam masa terdekat.

Menurut sumber, MForce bakal mengambil alih tugas pengedar CFMoto di Malaysia daripada KTNS Holdings Sdn Bhd.

Pengambilalihan itu dijangka mengukuhkan status MForce di Malaysia selaku pengedar dengan tawaran meluas ekoran turut mengedar jenama lain seperti Benelli, Keeway, WMOTO, SYM, Moto Morini, QJMotor, SM Sport dan Brixton Motorcycles. 

Bagaimanapun, maklumat terperinci mengenai ambil alih tugas selaku pengedar baharu CFMoto di Malaysia hanya boleh disampaikan pihak MForce dalam pengumuman rasmi yang dijangka dibuat dalam masa terdekat. 

Terdahulu, tugas pengedar jenama Triumph Motorcycles di Malaysia juga turut berpindah tangan daripada Fast Bikes Sdn Bhd kepada Didi Automotive. 

Fast Bikes akan beralih kepada Honda Big Wing bermula 15 Januari 2023. 

Oktober lalu, CFMOTO mendedahkan sebuah jentera konsep diberi nama NK-C22 yang didakwa akan direalisasikan sebagai model pengeluaran yang akan dipasarkan tidak lama lagi. 

Bagaimanapun ketika itu tiada maklumat rasmi yang boleh mengesahkan dakwaan terbabit sehingga ke hari ini.

Namun, segala persoalan akhirnya terjawab menerusi dokumen kelulusan yang telah difailkan di China, baru-baru ini. 

Dokumen tersebut, yang turut dilampirkan dengan sebuah foto memaparkan model naked dengan nama NK800 yang mirip jentera konsep NK-C22 yang didedahkan beberapa bulan lalu. 

Dokumen tersebut juga bukan sahaja mendedahkan satu malah dua varian 800NK yang akan dihasilkan dan dibezakan dengan ciri yang lebih premium dan warna berbeza – serba hitam pada model standard. 

*CFMOTO 800NK versi standard.

Menariknya, foto tersebut membuktikan 800NK datang dengan rekaan yang moden dan agresif setara dengan motosikal ‘naked’ sedia ada antaranya Honda CB750 Hornet dan Suzuki GSX-8S baharu.

Lebih mengagumkan, tidak banyak perbezaan antara 800NK dan model konsep NK-C22 kecuali ‘swingarm’ yang bertukar dari ‘single-sided’ kepada ‘swingarm’ konvensional.

Sementara itu, komponen lain pula digantikan daripada gentian karbon kepada elemen plastik.

*CFMOTO 800NK

Namun begitu, tidak hairan mengapa 800NK datang dengan rekaan yang cantik kerana jentera tersebut direka Kiska Studios, pihak sama yang menghasilkan rekaan bagi jentera KTM.

Pertalian dengan KTM juga tidak berakhir disitu kerana CFMOTO 800NK ini dikuasakan enjin LC8 parallel-twin 799cc yang sama terdapat pada KTM 790 Duke. Namun, enjin tersebut ditala semula bagi menghasilkan 99hp berbanding 105hp pada 790 Duke. 

Enjin LC8c

Untuk rekod, CFMOTO memegang hak terhadap enjin LC8 799cc dan turut menghasilkan 790 Duke dan 790 Adventure bagi pihak KTM. 

Selain itu, dokumen itu juga mendedahken 800NK turut berkongsi beberapa ciri sama dengan 790 Duke antaranya fork depan jenis USD dengan ‘swingarm’ aloi, dan kaliper brek berkembar 4-piston dari J.Juan.

CFMOTO dijangka melancarkan 800NK pada awal 2023 untuk pasaran Asia dan Eropah termasuk Amerika. 

Suzuki secara rasminya telah pun menghentikan segala penglibatan  dalam sebarang kejuaraan dunia termasuk MotoGP dan Endurance World Championship (EWC) bermula musim 2023.

Meskipun MotoGP merupakan kejuaraan dunia dua roda paling berprestij namun penarikan diri dari kejuaraan EWC paling dirasai kerana Suzuki undur diri selaku juara bertahan bagi dua musim berturut-turut (2020 dan 2021) sebelum menamatkan saingan 2022 di kedudukan kedua 

Bagaimanapun, dalam perkembangan terbaru, Yoshimura SERT Motul dengan  rasminya mengumumkan akan meneruskan penglibatan di EWC 2023 dengan sokongan Suzuki. 

Perkara itu diumumkan Pengarah Pasukan Yoshimura SERT Motul, Yohei Kato, dalam satu kenyataan. 

“Saya gembira bahawa Yoshimura SERT Motul akan terlibat dalam FIM EWC musim 2023. 

“Meskipun keputusan Suzuki menamatkan projek di MotoGP dan EWC adalah mendukacitakan namun kami berterima kasih kepada Suzuki Motor Corporation (SMC) atas pemahaman mereka untuk memberikan sokongan kepada pasukan ini.

“Kami akan terus mewakili Suzuki dan komited merampas kejuaraan EWC pada musim 2023,” jelasnya. 

Pengumuman itu bukan bermakna Suzuki membuat pusingan ‘U’ dalam menghentikan projek sukan permotoran seperti yang diumumkan sebelum ini namun hanyalah memberi sokongan kepada Yoshimura SERT Motul yang akan meneruskan saingan mengguna pakai jentera GSX-R1000.

Malah, Pengurus Pasukan, Damien Saulnier dalam satu kenyataan juga mengesahkan Suzuki telah pun menarik diri dari sebarang kejuaraan dunia namun akan menyalurkan sokongan bagi musim baharu di EWC.

“Meskipun Suzuki telah menarik diri tetapi kami akan menerima sokongan yang signifikan dari mereka jadi kami akan terus mewakili jenama itu di EWC. 

Kejuaraan FIM EWC akan membuka tirai pada April bermula dengan 24 Heures Motos at Le Mans. 

Austria merupakan antara negara yang sememangnya memandang serius kesalahan jalan raya. 

Terbaru, menteri alam sekitar negara itu, Leonore Gewessler telah mencadangkan agar penalti lebih ketat dikenakan terhadap pengguna jalan raya yang melanggar had kelajuan. 

Menurut usul yang dikemukakan, kenderaan yang diguna pakai sewaktu melakukan kesalahan memandu melebihi had laju akan disita sehingga dua minggu. 

Bagaimanapun, usul terbaru itu juga akan mengambil kira berapa kelajuan yang dicatat pemandu sewaktu melakukan kesalahan tersebut. 

Sekiranya melebihi had laju secara melampau atau didapati mengulangi kesalahan sama, usul itu juga memaklumkan tindakan menyita kenderaan dan seterusnya dijual secara bidaan akan dilaksanakan. 

Ketika ini, had kelajuan jalan raya di bandar besar Austria dihadkan pada 50km/j manakala had kelajuan di lebuh raya diletakkan pada 130km/j. – ANSA

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube