Bikesrepublic

Berita Terkini

Gara-gara menjadi tapak kegemaran aktiviti sukan lasak 4X4, masyarakat orang asli suku Temiar di perkampungan Pos Balar, Pos Tohoi dan Pos Gob kini berdepan kesukaran untuk keluar masuk kampung mereka.

Ekoran musim tengkujuh yang semakin hampir dan boleh menambah kepada kerosakan sedia ada, masyarat orang asi di kawasan terbabit merayu agar segala aktiviti sukan lasak terutamanya 4X4 dihentikan.

“Jalan kami kini bermasalah akibat rosak teruk, jika orang kampung saja yang menggunakannya, ia tidak jadi (rosak) seperti ini. 

“Apabila mereka (4WD) masuk untuk main (aktiviti sukan lasak) kami orang kampung yang terseksa,” Radi Uda, 51 memberitahu Berita Harian

Jelasnya lagi, penduduk kampung memerlukan masa hampir 12 jam hanya untuk ke bandar Gua Musang. 

Bukan itu sahaja, Radi mendedahkan dia terpaksa menempuh perjalanan 3 jam hanya untuk mendaki laluan berbukit yang jaraknya hanya 100 meter ekoran permukaan tanah yang rosak teruk disebabkan kenderaan 4X4. 

“Orang luar jangan bersikap pentingkan diri, mereka seronok bermain kereta seperti itu sedangkan kami di sini berdepan risiko terutama jika berlaku situasi kecemasan,” keluh Osman Anjang, 46, dari Pos Balar.

Bagi menangani masalah tersebut, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Kelantan/Terengganu telah pun menutup laluan tersebut bagi proses baik pulih dan pembinaan jambatan dari simpang Pos Simpor hingga ke Pos Gob. – Berita Harian

Tidak dinafikan jenama motosikal dari China sering menjadi bahan kritikan gara-gara didakwa sebagai tidak berkualiti dan dilabel sebagia motosikal pakai buang.

Walaupun, dakwaan itu mungkin berasas terutamanya bagi jenama yang tidak dikenali namun jenama besar seperti CFMoto pastinya tidak tergolong dari kumpulan tersebut.

*CFMoto 800MT

Hasil kerjasama dengan KTM pastinya antara penyumbang besar terhadap pembangunan motosikal CFMoto ketika ini. 

Tidak lupa juga, kerjasama dengan Kiska Design membantu CFMoto dalam menghasilkan motosikal yang bukan sahaja berkualiti malah menampilkan rekaan yang baik antaranya 250SR, 400NK, 650MT, 650GT CL700X dan 800MT. 

Bagi menguatkan lagi nama CFMoto di pasaran global, syarikat motosikal China itu bakal memperkenalkan jentera ‘roadster’ tidak lama lagi berdasarkan paten terbaru yang difailkan di Eropah.

Kedatangan model itu bukanlah satu kejuatan apabila CFMoto mendedahkan model konsep NK-C22 yang dikuasakan enjin (KTM) LC8c 799cc,  September lalu. 

*CFMoto 800NK

Bagaimanapun, ketika model konsep itu dilengkapi beberapa ciri menarik antaranya ‘single-sided swingarm’, paten yang didedahkan itu memaparkan penggunaan swingarm konvensional. 

Namun, aspek lain yang terdapat pada NK-C22 akan dibawa pada model ‘production tersebut yang dijangka akan diperkenalkan tidak lama lagi.

*CFMoto 800NK

Meskipun spesifikasi enjin tidak didedahkan namun mengambil kira enjin LC8c 799cc yang digunakan pada 800MT ketika ini, model 800NK itu akan menawarkan sekitar 95hp. 

Enjin tersebut juga digunakan KTM pada model 790 Duke dan 790 Adventure sebelum pengeluar motosikal Austria itu menaik taraf kepada 890cc. Ini sekaligus membuka peluang pada CFMoto menggunakan platform 799cc dengan lebih kebebasan. 

*Honda Hornet 750 2023

Lebih menarik, ini secara tidak langsung meletakkan CFMoto 800NK sebagai pesaing utama jentera Honda Hornet 750 yang diperkenalkan, baru-baru ini. 

Bagaimanapun, CFMoto 800NK mempunyai kelebihan ekoran dijangka ditawarkan pada harga yang lebih mampu milik berbanding Honda di samping lebih berkuasa. 

Berdasarkan imej dikongsikan, 800NK akan turut dilengkapi fork depan jenis ‘upside/down’ dan kalier brek J.Juan,. 

Sementara itu, antara ciri lain yang dijangka akan ditawarkan pastinya lampu LED penuh, skrin TFT, cornering ABS, dan cruise control seperti yang terdapat pada 800MT. 

Buat masa ini tiada tarikh pelancaran didedahkan namun kami tidak terkejut jika CFMoto mendedahkan model baharu ini di EICMA, November ini. 

Episod 4 Ducati World Premiere 2023 menyaksikan Ducati Panigale V4 R baharu diperkenalkan. 

Meskipun Ducati sedang menikmati musim cemerlang dengan jentera Panigale V4 R sedia ada di WorldSBK yang ketika ini mendahului kejuaraan dengan jurang besar, kilang Borgo Panigale itu sudah pun merancang untuk musim 2023. 

Senario Alvaro Bautista memintas pesaing lain dengan mudah di kejuaraan WorldSBK sudah menjadi norma baharu musim ini namun itu tidak cukup membuat Ducati berasa puas hati dengan prestasi semasa Panigale V4 R. 

Atas kerta, Ducati Panigale V4 R 2023 ini menghasilkan 218hp pada 15,500rpm namun dengan kombinasi ekzos ‘racing’ baharu serta minyak baharu dibangunkan Shell, model 2023 ini mampu mencapai 240.5hp.

Rev maksima jentera 2023 ini juga telah ditetapkan pada 16,500rpm pada gear 6 sekaligus menjaminkan ‘top speed’ yang lebih tinggi berbanding sebelum ini.

Kenaikan kuasa yang mendadak itu juga disumbangkan oleh ‘connecting rod titanium’ dan piston disaluti DLC (diamond like carbon coating). Ini merupakan kali pertama ciri itu diperkenalkan pada sebuah motosikal jalan raya. 

Selain itu, Ducati juga menala semula geometri piston dan berjaya menurunkan daya inersia di samping mengurangkan berat piston sebanyak 5gram.

Naik taraf lain diperkenalkan termasuk dua pakej mod menunggang baharu yang merangkumi mod ‘Full’ dan ‘Low’. Mod ‘Full’ bagi yang mahu menikmati prestasi sebenar Panigale V4 R manakala mod ‘Low’ pula menurunkan kuasa kepada 160hp bagi tunggangan dalam kawasan bandar. 

Ducati also mengolah semula sistem quickshifter agar pertukaran gear lebih lancar sewaktu throttle separa dan penuh. 

Seperti model sebelum ini, Panigale V4 R 2023 masih lagi setia dengan komponen Ohlins namun fork bertekanan NPX25/30 di depan kini menawarkan jarak pergerakan 5mm lebih tinggi. 

Swingarm pivot juga dinaikkan sebanyak 20mm dan tangki kini 17L sama seperti Ducati Panigale V4 S.

Akhir sekali, kesemua model Ducati Panigale V4 R 2023 kini didatangkan dengan nombor siri yang tertera di bahagian ‘steering head’.  

GALERI : DUCATI PANIGALE V4 R 2023

Fabio Quartararo akhrinya hilang statusnya selaku pendahulu kejuaraan MotoGP selepas berjaya dirampas pencabar, Francesco Bagnaia.

Bagnaia kini mendahului kejuaraan dunia MotoGP dengan 233 mata, 14 mata dihadapan Quartararo yang gagal mengutip sebarang mata ekoran kemalangan di Litar Phillip Island, Australia.

Bagaimanapun, saingan GP Australia tertumpu pada Alex Rins yang berjaya menghadiahkan (mungkin) kemenangan terakhir Suzuki sebelum pasukan Hamamatsu itu undur diri hujung musim ini.

Meskipun bermula di petak ke-10, namun Rins menghasilkan persembahan mengagunkan selepas berjaya memintas Bagnaia, Marc Marquez dan Jorge Martin untuk berada di depan.

Namun, Rins kembali dipintas Bagnaia dan Marquez sejurus selepas itu. 

Bagnaia kemudiannya mendahului apabila perlumbaan berbaki tiga lap. Bagaimanapun, Rins dan Marquez berjaya memintas pelumba Ducati itu dalam satu selekoh yang sama. 

Marquez cuba membuat percaturan terakhir untuk cuba memintas Rins di lap terakhir namun pelumba Suzuki itu kekal tenang untuk memenangi perlumbaan pertama untuk dirinya dan pasukan musim ini.

Marquez pula berpuas hati dengan tempat kedua sekaligus merekodkan podium ke-100 dalam kariernya.

Sementara itu, Quartararo hanya berputih mata selepas terlibat kemalangan lalu gagal mengutip sebarang mata dan membenarkan Bagnaia untuk menjadi pendahulu kejuaraan baharu menjelang aksi GP Malaysia.

Saingan MotoGP akan kembali bersambung dalam tempoh seminggu dari sekarang di Litar Antarabangas Sepang (SIC) pada 21 hingga 23 Oktober ini. 

MotoGP akan kembali berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang sempena GP Malaysia dalam tempoh seminggu lagi selepas dua musim dibatalkan ekoran pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, kali terakhir penganjuran pada 2019 berkesudahan dengan berita kurang enak ekoran berlakunya kecurian di kem pasukan Moto3, Angel Nieto. 

Pada waktu itu SIC masih lagi dibawah kendalian Ketua Pegawai Eksekutif-nya Datuk Razlan Razali. 

Namun, bercakap kepada CEO terbaru, Azhan Shafriman pada Jumaat, beliau menjelaskan bahawa tahap keselamatan di SIC akan diperketat menjelang GP Malaysia 2022. 

“Kami telah belajar daripada apa yang berlaku pada 2019. Kita tidak boleh ambil mudah aspek keselamatan.

“Jadi kami telah berhubung dengan Dorna dan IRTA bahawa kami akan tingkatkan tahap keselamatan antaranya menambah 65 unit kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan paddok.

“Kami juga sudah berbincang dengan pihak PDRM untuk ketatkan lagi tahap sekuriti bagi memastikan insiden sama tidak berulang,” jelas Azhan. 

MotoGP Malaysia akan berlangsung bermula 21 hingga 23 Oktober ini di Litar Antarabangsa Sepang. 

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) telah pun merasmikan pelancaran Yamaha TMax Tech Max 560 2022 pada Khamis.

Pelancaran tersebut menyaksikan kumpulan pertama Yamaha TMax Tech Max sebanyak 35 unit telah pun habis dijual dengan kumpulan kedua babitkan 40 unit lagi juga telah disambar pembeli.

Bagaimanapun, semasa berita pelancaran tersebut dimuat naik, rata-rata terbeliak anak mata ekoran harga rasmi yang diumumkan. 

Ini kerana – meskipun model CKD – namun model 2022 itu lebih tinggi harganya berbanding model CBU yang diperkenalkan tahun lalu. 

Bagi menjawab persoalan, kami kongsikan lima sebab kenapa Yamaha TMax Tech Max 2022 ini dijual pada harga RM74,998. 

1. Skrin TFT 7-inci

Berbanding model 2021 yang masih lagi dilengkapi skrin gabungan digital dan analog, model 2022 ini pula dilengkapi skrin TFT yang lebih besar daripada saiz Apple iPhone 14 Pro Max. 

Bukan itu sahaja, skrin ini boleh dihubungkan dengan telefon pintar dan menawarkan fungsi navigasi Garmin yang boleh dilanggan dengan harga RM27 bagi bulan pertama. 

Sistem navigasi Garmin tersebut memudahkan penunggang untuk bergerak ke mana sahaja tanpa perlu lagi memasang telefon pintar di bahagian handlebar yang kadang kala menyusahkan.

2. Ciri premium

Disebabkan pasaran Malaysia mendapat varian Tech Max – varian tertinggi – model ini dilengkapi dengan pelbagai ciri premium yang merangkumi tempat duduk dan grip dengan fungsi pemanas, penghadang angin boleh laras secara elektrikal, fungsi cruise control dan suspensi belakang boleh laras. 

Tak lupa juga, Yamaha TMax Tech Max ini datang dengan tayar Bridgestone SC2 secara standard. 

Fungsi lain turut disertakan adalah traction control, mod menunggang, fungsi keyless dan tempat duduk dan tempat sisi minyak yang boleh dibuka dengan alat kawalan. 

3. Ergonomik dinaik taraf

Antara peningkatan terbesar dilaksanakan pada Yamaha TMax 2022 ini adalah aspek ergonomik. 

Model ini menawarkan tahap keselesaaan yang cukup tinggi bukan sahaja bagi penunggang malah pillion. 

Di bahagian tempat duduk penunggang disertakan dengan penyandar belakang secara standard yang juga boleh diubah mengikut keselesaan. 

Handelbar juga lebih rendah berbanding model 2021 agar lebih selesa dan tidak meletihkan. 

4. Enjin berkuasa

Yamaha TMax Tech Max 560 ini didatangkan dengan enjin parallel-twin 562cc DOHC yang berupaya menghasilkan 47.6hp pada 7,500rpm dan 55.7Nm pada 5,250rpm. 

Meskipun enjin yang sama dibawa daripada model 2021 namun enjin tersebut sudah terbukti kemampuannya.

5. Raja Skuter Maxi

Ketika pengeluar lain baru cuba menjinakkan diri dalam penghasilan skuter maxi, Yamaha telah pun menghasilkan model TMax sejak tahun 2000 lagi menerusi XP500 Tmax. 

Ketika diperkenalkan pada waktu itu, enjin 500cc pada TMax merupakan enjin paling besar dan paling berkuasa pernah ditawarkan pada sebuah skuter. 

Ini bermakna Yamaha mempunyai pengalaman luas dalam membangunkan sebuah skuter maxi yang bukan sahaja berkuasa malah berkualiti.

Selain itu, Yamaha TMax Tech Max 560 ini juga tiada tandingannya. 

Walaupun ketika ini terdapat banyak pencabar antaranya SYM TL500 dan Kymco AK550 namun takhta raja skuter maxi kekal milik TMax. 

Rumusan

Mengambil kira faktor di atas maka tidak hairanlah mengapa Yamaha TMax Tech Max 560 ini mencecah harga lebih RM70,000. 

Ini kerana Yamaha TMax bukan sekadar skuter biasa tetapi jentera yang berteknologi tinggi dan premium dalam kelasnya. 

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube