Bikesrepublic

Berita Terkini

Geng Dani yang mahir menghidupkan motosikal secara sambungan wayar dan membuka kunci pemegang menggunakan peralatan diubah suai sebagai ‘kunci utama’ akhirnya ditahan.

Diketuai pasangan kekasih remaja yang aktif sejak awal tahun ini dan terbabit jenayah mencuri motosikal, geng ini telah ditumpaskan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, susulan beberapa siri kehilangan motosikal dalam tempoh dua minggu bermula 7 Jun lalu membabitkan kerugian kira-kira RM25,000, pihaknya menjalankan risikan Op Lejang dan berjaya mengenal pasti beberapa individu disyaki ‘dalang’ kejadian curi itu.

Menurutnya, hasil siasatan oleh pegawai dan anggota Cawangan Risikan/Operasi/ Rekod Jenayah (D4) BSJ, IPD Melaka Tengah membuat tangkapan ke atas 10 individu iaitu sembilan lelaki dan seorang perempuan berusia 18 hingga 35 tahun.

“Tangkapan ke atas semua suspek dibuat dalam enam serbuan berasingan di daerah Melaka Tengah dan Pulau Pinang.

“Siasatan lanjut mendapati kumpulan ini diketuai lelaki berusia 21 tahun dikenali sebagai Dani dan gadis berusia 18 tahun yang ditahan itu adalah kekasihnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Christopher berkata, menerusi serbuan dilakukan polis merampas empat motosikal pelbagai jenis seperti Yamaha Y15, Benelli R18i dan Modenas Kriss yang dilaporkan hilang di sekitar Melaka Tengah selain dadah seberat 18.8 gram yang dijumpai semasa pemeriksaan.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Skuter maxi WMOTO RT3(S) telah dikemas kini bagi tahun 2022 dengan paparan skrin TFT menggantikan skrin digital pada model RT3 yang diperkenalkan pada Mac tahun lalu.

Menurut pengedar rasmi jenama WMOTO di Malaysia, WMOTO RT3S ini tampil dengan tiga pilihan warna; Union Red, Youth Grey dan Justice Blue dan ditawarkan pada harga RM17,888 (sebelum cukai jalan dan insurans).

Menariknya, paparan skrin TFT ini juga dilengkapi ciri User Interface yang menawarkan mod cahaya dan mod malam mengikut keadaan cuaca semasa. Mod tersebut juga boleh ditukar mengikut keamatan cahaya semasa.

Selain itu, RT3S ini juga dilengkapi dengan ciri ‘Tyre Pressure Monitoring System’ (TPMS), ciri yang kebiasaanya ada pada motosikal bersesaran lebih besar.

Pada masa sama, sebagai memberi peringatan tempoh servis, paparan skrin TFT tersebut akan memaparkan logo ‘spanar’ sebaik mencapai perbatuan tertentu.

Bagaimanapun, ciri lain yang masih lagi dikekalkan adalah penggunaan smart key, sistem ABS dari Bosch, tangki 17L, tayar 120/7-15 depan dan 140/60-14 belakang.

WMOTO RT3S ini juga masih lagi dikuasakan enjin silinder tunggal 247cc DOHC yang menawarkan 23hp pada 8,000rpm dan 22.5Nm pada 6,500rpm. Kuasa enjin pula disalurkan kepada tayar belakang menerusi transmisi CVT.

Sri Lanka hari ini menawarkan pekerjanya di luar negara hak untuk membeli kenderaan elektrik bebas cukai untuk menggalakkan mereka menghantar wang kembali ke negara dan meningkatkan rizab pertukaran asing negara yang kekurangan wang itu.

Negara kepulauan itu mengharamkan import kenderaan pada Mac 2020 ketika wabak coronavirus mula menjejaskan kewangannya, hingga membawa kepada presidennya meninggalkan negara dan mengumumkan peletakan jawatan bulan lalu.

Namun, dalam usaha memikat lebih dua juta warga Sri Lanka yang bekerja di luar negara, mereka akan dikecualikan daripada larangan itu dan dibenarkan membawa masuk kereta elektrik dan motosikal tanpa cukai.

Sebelum larangan itu, duti akan berkisar antara kira-kira AS$5,000 (RM22,270) hingga hampir AS$50,000 (RM222,706), bergantung pada model.

“Kami menawarkan konsesi cukai yang tidak pernah berlaku ini untuk menggalakkan komuniti ekspatriat kami menghantar pulang pertukaran asing melalui sistem perbankan yang sah,” kata menteri pekerjaan asing, Manusha Nanayakkara kepada pemberita berikutan keputusan kabinet hari ini.

Pekerja luar negara hanya boleh menggunakan separuh dana yang dihantar untuk pembelian, yang boleh mempunyai nilai maksimum AS$65,000 (RM289,518), tambahnya, manakala mereka yang telah menghantar pulang jumlah yang lebih kecil boleh membeli peralatan rumah tanpa cukai di lapangan terbang.

Bagaimanapun, pekerja luar negara perlu menghantar pendapatan mereka melalui saluran rasmi untuk mendapat manfaat daripada tawaran itu – dan itu akan menyaksikan mereka ditukar kepada rupee Sri Lanka pada kadar rasmi.

Ekspatriat diketahui menggunakan cara tidak formal untuk menghantar wang pulang kerana kadar pertukaran yang lebih baik disebabkan bank pusat negara itu dituduh mengekalkan nilai terlalu tinggi, bukan nilai sebenar.

Rakyat Sri Lanka di luar negara mencari kiriman wang menerusi kereta elektrik bagi memulakan kiriman wang, yang pernah menjadi sumber utama pertukaran asing bagi ekonomi, tetapi jatuh lebih daripada 50 peratus, daripada AS$3.3 bilion (RM14.69 bilion) pada separuh pertama 2021 kepada AS$1.6 bilion (RM7.1 bilion) dalam tempoh yang sama tahun ini.

Krisis kewangan telah memaksa Sri Lanka gagal membayar hutang asingnya yang berjumlah AS$51 bilion (RM227 bilion) dan membuka rundingan penyelamat dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), manakala barangan keperluan seperti bahan api dan ubat-ubatan berada dalam keadaan kekurangan bekalan.

Khabar angin mengenai kemuncul Kawasaki ZX-4R mula timbul pada Mei tahun lalu menerusi beberapa laporan oleh media Jepun.

Khabar angin tersebut timbul beberapa bulan selepas Kawasaki melancarkan ZX-25R – jentera 250cc 4-silinder – di Indonesia.

Awal tahun ini, media terkemuka Jepun, antaranya Young Machine berjaya mendapatkan pengesahan dari sumber dipercayai bahawa Kawasaki akan memperkembang keluarga ZX-25R dengan versi yang lebih besar, dikenali sebagai ZX-4R.

Apatah lagi Kawasaki turut memfailkan paten nama ZX-4R sekaligus menguatkan lagi kemunculan model itu.

Dalam perkembangan terbaru, media Jepun Autoby melaporkan Kawasaki akan melancarkan ZX-4R pada penghujung tahun 2023.

Menurut laporan itu, Kawasaki ZX-4R akan menampilkan rekaan dan saiz hampir sama dengan ZX-25R.

Suspensi Showa Separate Function Fork-Big Piston (SFF-BP) 37mm juga akan dikekalkan sekaligus beri bayangan model 400cc itu tampil dengan rekaan kompak menyamai ZX-25R.

Bagaimanapun, apa yang menarik perhatian adalah kuasa kuda yang mampu dihasilkan enjin 400cc 4-silinder itu. Menurut Autoby, Kawasaki ZX-4R akan datang akan menawarkan lebih 60hp (ZX-25R menghasilkan 50hp).

Ekoran kuasa yang lebih tinggi, ZX-4R akan didatangkan dengan cakera brek berkembar di depan termask penggunaan kaliper brek 4-pot.

Sementara itu, model 400cc ini juga dijangka tampil dengan ekzos lebih besar bagi mencapai standard emisi ditetapkan. Tayar belakang juga dijangka lebih besar berbanding ZX-25R.

Dalam perkembangan berbeza, Modenas, selaku pengedar rasmi jenama Kawasaki di Malaysia sebelum ini telah pun mengesahkan akan membawa masuk ZX-25R untuk pasaran negara pada tahun depan.

Namun, status sama ada model itu akan dijenamakan semula sebagai Modenas (CKD) atau dibawa masuk sebagai CBU masih lagi dalam peringkat perbincangan. – Autoby

Kejuaraan Dunia MotoGP akan membuka tirai musim 2023 di Litar Portimao, Portugal.

Pengumuman itu sekaligus menandakan buat kali pertama selepas 17 tahun, pusingan pertama MotoGP akan berlangsung di Eropah.

GP Portugal akan menggantikan GP Qatar setelah kerajaan negara itu membuat keputusan untuk melaksanakan kerja-kerja naik taraf besar terhadap Litar Antarabangsa Losail termasuk menaik taraf sistem lampu limpah di sekitar litar.

Meskipun perubahan ‘venue’ pembukaan bagi musim 2023, tarikh asal tetap tidak berubah dengan pusingan pertama di Litar Portimao akan tetap berjalan pada 24 hingga 26 Mac.

Ini bermakna, pelumba akan beraksi di atas litar dengan suhu rendah, sekitar 18 darjah celsius sekaligus membawa cabaran berbeza berbanding di Qatar.

Ini juga antara sebab mengapa pusingan di Eropah hanya bermula pada Mei dengan Qatar menjadi tuan rumah aksi pembuka tirai.

Seorang pesara tentera telah nekad mengelilingi Semenanjung Malaysia menunggang Yamaha LCnya demi merealisasikan impiannya untuk melaungkan seruan azan di 99 masjid atau surau setiap negeri yang dikunjunginya.

Murad Mohd Kassim, 52 yang berasal dari Parit, Perak dan menetap di Putrajaya berkata, tujuannya melaksanakan Kembara Solo Hijrah Merdeka 2022/1444 Hijrah adalah sebagai usaha menghijrahkan dirinya dalam mendekatkan diri dengan Allah SWT.

“Sebenarnya perancangan ini sudah lama dilakukan dan saya melihat tempoh bersempena dengan kedatangan Awal Muharam dan Hari Kebangsaan nanti adalah sebagai waktu terbaik untuk saya melakukan usaha murni ini.

“Alhamdulillah usaha ini juga mendapat sokongan daripada anak dan isteri, selain ahli jawatankuasa masjid di setiap daerah dilawati.

“Pemilihan angka 99 itu juga sebagai mengingati 99 nama Allah. Namun, saya tidak memilih masjid atau surau tertentu untuk dikunjungi kerana saya akan singgah di mana-mana masjid atau surau di sepanjang perjalanan,” katanya ketika ditemui di perkarangan Masjid al-Hussain atau dikenali sebagai Masjid Terapung Kuala Perlis semalam.

Katanya, selain mendekatkan diri dengan Allah SWT, usaha ini juga sebagai satu disiplin kepada dirinya untuk sentiasa istiqamah dalam melaksanakan solat fardu lima waktu dan solat Jumaat.

“Kembara saya ini sebenarnya bermula dari kediaman saya di Presint 5, Putrajaya pada 6 Julai lalu dan saya bersyukur kerana sepanjang perjalanan ke Kuala Perlis saya sudah diberi peluang oleh pelbagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid untuk mengalunkan azan di 49 masjid atau surau .

“Kini berbaki 50 masjid atau surau sahaja lagi untuk saya merealisasikan usaha ini dan sudah tentu, banyak cabaran yang terpaksa ditempuhi dalam menyempurnakan usaha ini termasuk faktor cuaca,” katanya.

Murad berkata, isterinya, Roslina Osman, 41 serta tiga anaknya yang berusia antara 18 hingga 29 tahun merestui perjalanannya itu kerana mereka sudah memahami tujuan yang dilakukannya sama seperti sebelum ini.

“Bagi memastikan bahawa saya berpeluang melaungkan azan di setiap masjid atau surau, saya perlu berada sekitar 30 minit sebelum masuknya waktu solat untuk meminta kebenaran.

“Saya hanya berbekalkan wang saku sendiri sekitar RM1,000 sahaja yang mana RM200 dibelanjakan untuk pengisian petrol sepanjang kembara ini,” katanya.

Dia berkata, selepas Perlis, dia akan berkunjung ke Masjid al-Fateh di Jitra, Kedah sebelum meneruskan ke masjid atau surau di setiap negeri dalam kembara itu seperti Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube