Bikesrepublic

Berita Terkini

Kaunter bayaran saman trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menawarkan diskaun 50 peratus sentiasa mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

Hari ini, pada program Road March 2022, sempena sambutan Hari Polis ke-215 di Dataran Merdeka di ibu negara, orang ramai mula beratur seawal jam 7 pagi, walaupun kaunter hanya dibuka pada jam 9 pagi.

Abu Kassim Karim berkata, dia memilih untuk membayar saman di Dataran Merdeka walaupun terpaksa beratur panjang, kerana dia boleh membuat penjimatan dengan berbuat demikian.

“Saya beratur seawal jam 7 pagi, tetapi tidak mengapa kerana saya boleh menjimatkan banyak terutama dalam keadaan ekonomi semasa. Memang berbaloi,” katanya ke Bernama.

Seorang pelajar, Asyraf Mustafa, 18, berkata, diskaun yang diberikan sememangnya dapat meringankan beban semua pihak dan dia amat bersyukur dengan pengurangan itu.

“Pemberian diskaun ini sebenarnya memberi ruang kepada pengguna jalan raya untuk menjelaskan saman masing-masing yang mungkin sudah lama tertunggak,” katanya.

Terdahulu, PDRM dalam satu catatan di akaun Facebook dan Twitter rasminya, mengumumkan diskaun 50 peratus bagi kesalahan trafik terpilih akan diberikan kepada orang ramai yang membuat pembayaran pada sambutan itu.

Bagaimanapun, kesalahan melibatkan kemalangan, saman berstatus waran tangkap, memotong garisan berkembar, melanggar lampu merah, memotong secara berbahaya dan menggunakan lorong kecemasan tidak termasuk dalam senarai diskaun.

Selain itu, ia juga tidak melibatkan kesalahan dalam kategori tidak boleh kompaun (NC), berstatus percubaan, serta kesalahan berkaitan kenderaan berat dan ubah suai ekzos kenderaan.

Baru-baru ini, seorang pengguna ‘anonymous’ telah berkongsi pengalamannya di Facebook tentang bekas teman wanitanya yang berpisah dengannya kerana seorang lelaki yang memandu kereta Honda City.

Dalam hantarannya beliau berkata:

“4 tahun lalu, gaji bulanan saya RM4,000 dan saya memandu Myvi, dan teman wanita saya meninggalkan saya untuk seorang lelaki yang memandu Honda City.

“Kini, saya memandu BMW316 dan saya berjaya meminta seorang gadis meninggalkan teman lelakinya yang memandu Honda Civic. Saya menganggap ini sebagai membalas dendam yang berjaya! Hati-hati wahai pemandu Honda!”

Ramai netizen menganggapnya lucu dan inilah yang dikatakan sebahagian daripada mereka:

“Lebih baik anda berhati-hati bahawa lelaki yang memandu Ferrari akan mencuri teman wanita anda… Tetapi saya rasa tidak mengapa, kerana anda akan memandu Rolls Royce untuk membalas dendam sekali lagi dalam masa beberapa tahun.”

“Dia boleh mempunyai pemandu yang menghantarnya sekarang.”

“Saya akhirnya faham sekarang, ia kerana saya memandu Proton Saga, sebab itu saya tidak mempunyai teman wanita.”

“Saya dan teman wanita saya selalu membawa Benz ke sekolah semasa kami di sekolah menengah. Kami juga mempunyai pemandu.”

“Bas?,” seorang netizen bertanya kepada komen di atas. “Adakah ini Benz yang anda maksudkan?”

Sebagai pengguna media sosial, kami kadang-kadang terjumpa pelbagai jenis ‘pengakuan’ di Facebook.

Sesetengahnya mungkin serius, lucu, atau langsung tidak masuk akal.

Memandangkan ia adalah siaran tanpa nama, kami juga mengingatkan semua orang, “baca boleh, percaya jangan”.

Aktivis jalan raya Azlan Sani Zawawi, atau lebih dikenali sebagai Lando Zawawi, meminta kerajaan menangani masalah “bottleneck” bagi meredakan sebarang kesesakan ketika pembinaan lebuh raya baharu sebagai penghubung antara koridor lalu lintas timur dan utara Lembah Klang selesai.

Dia turut mencadangkan supaya kerajaan melebarkan jalan raya, khususnya di persimpangan percantuman antara lebuh raya sekitar Lembah Klang bagi mengurangkan risiko kesesakan jalan raya sementara menunggu lebuh raya baharu berkenaan siap dibina.

Katanya, kebanyakan kesesakan berlaku khususnya di waktu puncak melibatkan persimpangan pencantuman antara lebuh raya termasuk laluan keluar-masuk jalan utama.

“Secara amnya kami menyokong semua pelan kemajuan infra negara demi kemudahan pengguna di masa hadapan, namun seringkali pihak kami mendapati tahap pemantauan dan penyelenggaraan amat lemah sehingga menimbulkan banyak masalah terhadap pengguna termasuk kemalangan dan kerugian harta benda.

“Dari satu aspek lain wujud juga masalah trafik teruk di lokasi percantuman lebuh raya ini di laluan lama yang masih belum dinaik taraf,” katanya dalam satu temuduga bersama Free Malaysia Today.

Beliau memberikan sebagai contoh, laluan keluar dari UiTM Puncak Perdana yang bertembung menjadi satu laluan seterusnya mewujudkan keadaan “bottleneck” teruk.

Berikutan itu, katanya, sewajarnya fokus pelebaran jalan sedia ada perlu diselaraskan dengan pembangunan lebuh raya yang dirancang.

Selain itu Azlan yang juga pengasas Persatuan Mangsa Kemalangan Jalan Raya berkata, masalah pemilikan persempadanan yang kompleks di negara ini juga menyukarkan pembangunan infrastruktur jalan raya yang sempurna sehingga mengakibatkan kesesakan khususnya di persimpangan susur keluar lebuh raya.

“Perkara yang sama dilihat berlaku di susur keluar Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) serta sekitar kawasan Ampang,” katanya.

Katanya, walaupun pihaknya secara asasnya menyokong usaha kerajaan membina lebuh raya baharu, penambahbaikan sistem pengangkutan awam antara bandar raya serta menggalakkan orang ramai menggunakannya sebenarnya langkah paling berkesan dalam usaha menangani kesesakan jalan raya di Lembah Klang.

“Kami percaya penambahbaikan sistem pengangkutan awam antara bandar raya lebih baik daripada pembangunan lebuh raya yang tidak teratur,” katanya.

Ducati bakal memperkenalkan tujuh model baharu selepas mendedahkan akan menayangkan tujuh episod sempena Ducati World Premier 2023.

Menurut Ducati , kesemua tujuh episod akan berlangsung dalam tempoh tiga bulan bermula dengan episode pertama pada 2 September sebelum berakhir pada 7 November 2022, sehari sebelum pembukaan tirai pameran motosikal EICMA di Milan pada 8 November 2022.

Berikut tujuh episod yang akan ditayangkan sempena DWP 2023:

  • Episod 1—The Unexpected (September 2)
  • Episod 2—Ready for More? (September 15)
  • Episod 3—Unlock Earth (September 29)
  • Episod 4—This is Racing (October 7)
  • Episod 5—Push Forward (October 20)
  • Episod 6—Dare to be Bold (October 28)
  • Episod 7—Next Gen Freedom (November 7)

Berbanding DWP sebelum ini yang datang dengan tajuk yang mudah dirungkai (memberi bayangan model apa yang akan dilancarkan) namun Ducati mengambil langkah berbeza kali ini dengan menggunakan tajuk yang am.

Bagaimanapun, episod 4 “This Is Racing” hampir pasti merujuk pada model Panigale terbaru sementara episod akhir, “Next Gen Freedom” mungkin merujuk kepada generasi terbaru Multistrada V4.

Meskipun bakal mendedahkan tujuh model baharu secara virtual seperti edisi sebelumnya namun Ducati sebelum ini telah pun mengesahkan akan kembali ke EICMA.

Ini bermakna, jenama motosikal Itali itu berkemungkinan besar akan membuat satu kejutan besar di Milan nanti selepas selesai kesemua tujuh episod DWP 2023.

Seperti biasa, kami akan membawakan info terperinci bagi setiap satu episod.

Juara dunia empat kali Sebastian Vettel mengumumkan persaraannya daripada Formula Satu pada penghujung musim ini dengan mahu menumpukan lebih masa kepada keluarga serta aktitivi di luar sukan itu.

Jaguh berusia 35 tahun dari Jerman itu menjuarai gelaran dengan Red Bull pada 2010-13 dan menyertai Ferrari selama enam musim sebelum berpindah ke Aston Martin yang sekadar menduduki tempat kesembilan daripada 10 pasukan.

Dia membuat pengumuman itu menjelang Grand Prix Hungary hujung minggu ini, perlumbaan ke-13 dan yang terakhir sebelum berehat seketika Ogos depan.

“Saya dengan ini mengumumkan persaraan daripada Formula Satu pada penghujung musim 2022,” katanya dalam sidang video di Instagram.

“Saya cintakan sukan ini. Ia menjadi sebahagian hidup saya tetapi kehidupan di luar litar perlu difikirkan. Menjadi pelumba kereta tidak pernah menjadi satu-satunya identiti saya.

“Selain perlumbaan, saya ada keluarga yang semakin membesar dan saya mahu berada di samping mereka. Saya mempunyai perkara lain di luar Formula Satu,” kata Vettel, bapa kepada tiga cahaya mata.

Vettel menduduki tangga ketiga dalam senarai pemenang terbanyak perlumbaan sepanjang zaman dengan 53 kemenangan di belakang juara tujuh kali Lewis Hamilton (103) dan Michael Schumacher (91). Kemenangan terakhirnya bersama Ferrari di Monza pada 2019.

Hanya kerana dihalang menggunakan motosikal, seorang lelaki bersenjatakan pisau sanggup mengugut mahu membunuh ibunya di rumah mereka di Bandar Perdana, dekat sini hari ini.

Dalam kejadian 2 petang itu, lelaki berusia 20 tahun berkenaan baru tiba di rumah sebelum dia meminta untuk menggunakan motosikal milik ibunya.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, ibu suspek yang berusia 40 tahun bagaimanapun tidak membenarkannya menggunakan motosikal itu kerana dia baru pulang selepas tiga hari keluar rumah.

“Suspek yang berang secara tiba-tiba mengamuk sebelum mengambil pisau dan mengugut mahu membunuh ibu dan juga adik-beradiknya yang berada dalam rumah.

“Bimbang dengan tindakan anaknya serta keselamatan mereka sekeluarga, wanita terbabit terus menghubungi polis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, anggota unit peronda polis (MPV) yang menerima maklumat berhubung kejadian itu melalui bilik gerakan bergegas ke lokasi dan berjaya menahan suspek.

“Siasatan lanjut mendapati suspek yang bekerja kilang tidak memiliki sebarang rekod jenayah.

“Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif methamphetamine dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube