Bikesrepublic

Berita Terkini

MIMOS Bhd membangunkan motosikal Range Extended Electric Vehicle (RE-EV) yang pertama di Malaysia dengan kerjasama Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

MIMOS, dalam kenyataan hari ini, memaklumkan projek RE-EV adalah melalui program High Value-Added and Complex Product Development Programme (HVA), iaitu inisiatif kerajaan untuk meningkatkan keupayaan dan kecekapan sektor pembuatan dalam membangunkan produk bernilai tambah tinggi serta kompleks.

Projek RE-EV yang mengambil masa selama dua tahun itu disepadukan dengan genset enjin pembakaran dalaman (ICE) untuk memberi pengecasan tambahan kepada bateri yang boleh memanjangkan jarak perjalanan.

“Jika dibandingkan dengan EV hibrid di mana kedua-dua ICE dan motor elektrik dijadikan sistem drivetrain, RE-EV pula ialah sebuah sistem yang lebih ringkas, di mana ia tidak memerlukan rantai pemacu untuk memutar roda.

“Ini akan mengurangkan kerisauan penunggang ketika memandu jarak jauh kerana genset akan diaktifkan apabila tenaga bateri sedia ada menurun di bawah ambang tertentu,” menurut kenyataan itu.

Motosikal RE-EV yang disempurnakan bulan lalu itu dibangunkan dengan penggunaan bateri boleh ditanggalkan yang juga boleh disokong dengan pertukaran bateri.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MIMOS, Dr Iskandar Samad, berkata geran kerajaan seperti HVA terbukti mampu membantu industri dalam menjalankan penyelidikan dan pembangunan untuk meningkatkan pengkomersialan dalam sektor ekonomi bernilai tinggi, terutama untuk perusahaan Malaysia dengan menawarkan banyak peluang ekonomi.

“Pembangunan motosikal RE-EV ini diharapkan dapat menjadi pendorong utama industri kenderaan dua roda bukan sahaja di pasaran domestik, malah pasaran serantau.” katanya.

Selain motosikal RE-EV, MIMOS juga telah menyempurnakan dua lagi projek di bawah geran HVA iaitu Application Specific Integrated Circuit (ASIC) dengan kerjasama Oppstar Technology Sdn Bhd dan Asset Optimisation Leveraging on IIOT Technologies for O&G Industry dengan kerjasama Neu Zenith Sdn Bhd yang berjaya disiapkan pada April 2021.

ASIC ialah sebuah projek mereka bentuk harta intelek (IP) dengan klasifikasi kecerdasan buatan (AI) bagi membantu pemain industri semikonduktor dengan menyediakan IP ASIC yang boleh disepadukan ke dalam set cip AI semikonduktor mereka dan menyediakan klasifikasi AI pada cip data raya.

Projek IIOT Technologies for O&G Industry pula, MIMOS membangunkan Sistem Pemerolehan Data berasaskan IOT Tanpa Wayar untuk Persekitaran Kasar (iDASH) untuk mengukur pelbagai parameter seperti getaran, akustik dan suhu dalam persekitaran yang kasar seperti minyak dan gas.

Menurut kenyataan itu, MIMOS komited untuk menyokong dan bekerjasama dengan pemain industri dalam menjayakan projek bagi memacu industri dan perniagaan Malaysia ke arah automasi dan pendigitalan bagi membantu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara selain memperkasakan industri.

Kejadian kemalangan maut babitkan lima individu di Pulau Pinang baru-baru ini mendapat perhatian ramai pihak susulan berkait dengan gejala lumba haram di negeri itu.

Sehubungan dengan itu, ramai pihak yang berpendapat bahawa kejadian seumpamanya itu boleh ditangani sekirannya kerajaan negeri mewujudkan litar lumba agar kejadian lumba haram yang meragut lima nyawa itu tidak berulang.

Bagaimanapun, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri telah pun membuka proses permohonan pengemukaan cadangan (Request for Proposal) tahun lalu namun tiada satu syarikat pun yang memberi maklum balas.

“Sebelum ini kita ada satu cadangan untuk membuka satu litar besar di Batu Kawan, kita telah menjemput syarikat-syarikat yang layak untuk menyertai RFP projek ini di bawah Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Soon Lip Chee.

“Kita telah berusaha untuk elak kejadian sedemikian (kemalangan) tetapi tidak ada syarikat yang memberi respond kepada RFP tersebut kerana mungkin mereka tidak nampak potensi dalam sediakan litar ini,” jelasnya.

Pulau Pinang sebelum ini telah pun bercadang untuk membina litar lumba di Batu Kawan bersebelahan Kompleks Stadium Negeri dengan tanah berkeluasan 2.8 hektar itu dilihat lokasi sesuai untuk pembinaan tersebut. – KOSMO

Satu video memaparkan bekas Imam Masjidilharam menunggang sebuah motosikal berkuasa tinggi lengkap dengan berpakaian moden, menjadi tular dalam media sosial.     

Berdasarkan video dirakam oleh seorang peminat di aplikasi Snapchat, Sheikh Adel Al-Kalbani dilihat sedang duduk di atas motosikal jenis Harley Davidson di tepi jalan. 

Malah, Sheikh Adel juga kelihatan memakai jaket dengan bendera negara Amerika Syarikat (AS) dan beberapa lagi ikon di atas pakaian itu.  

“Sheikh Adel tersenyum dan menunjukkan isyarat dua jari berbentuk `V’ sebagai simbol kedamaian selepas peminat yang merakam video meminta beliau berbuat demikian,” jelas laporan Al Arabiya

Nama Sheikh Adel menjadi sohor kini di Twitter sejak rakaman video itu tular dalam media sosial, Isnin lalu.

Malah, tindakan bekas Imam Masjidil Haram itu juga mencetuskan pelbagai reaksi di seluruh Arab Saudi kerana dianggap luar biasa dan berbeza dengan ulama lain.

Sementara itu, seorang pengguna media sosial berpandangan cara Sheikh Adel berpakaian mungkin sukar diterima oleh sesetengah rakyat. 

“Pada hemat saya, Sheikh Adel tidak melakukan sebarang perkara yang dilarang. Beliau bebas membuat apa sahaja dimahukan.

“Namun, kita sudah biasa melihat golongan imam terutama Imam Masjidil Haram berpakaian dengan cara tertentu. Jadi, kami sukar menerima perkara ini,” katanya di Twitter.

Bagaimanapun, rata-rata warganet memuji penampilan baharu Sheikh Adel dengan ada yang menggelar beliau sebagai tokoh luar biasa.     

Ramai juga yang menganggap apa yang dilakukan oleh bekas Imam Masjidil Haram itu sebagai satu bentuk kebebasan baginya.  

“Apa salahnya memakai pakaian moden. Ini adalah kebebasannya. Tiada siapa yang akan mempertanggungjawabkan individu itu melainkan Allah.

“Jadi, mengapa mahu kecoh mengenai isu ini,” kata seorang pengguna yang menjawab komen negatif pada video tersebut.

“Kegiatan merempit adalah menyusahkan orang ramai, mengganggu pengguna jalan raya selain daripada membahayakan diri sendiri dan orang lain.Kesemua ini dilarang di da­lam syariat Islam dan merupakan satu perbuatan dosa.”

Demikian kenyataan dibuat Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor berkenaan dengan kegiataan merempit yang berlaku di negeri itu baru-baru ini yang menyaksikan lima individu maut.

Menurut Datuk Seri Wan Salim, aktiviti merempit adalah dilarang mengikut syariat Islam di samping bukan sahaja membahayakan diri sendiri malah keselamatan orang lain.

Jelasnya, aktiviti merempit juga adalah satu dosa kerana wajib bagi rakyat mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya yang telah ditetapkan.

Sementara itu, Wan Salim juga luah rasa dukacita dan kecewa dengan jumlah kemalangan jalan raya yang semakin meningkat naik ketika ini.

“Banyak nyawa manusia terkorban dan ramai pula yang ce­de­ra parah dan ada yang hilang keupayaan kekal sepanjang hayat.

“Islam juga wajibkan umat­nya memelihara nyawa sebagai salah satu matlamat utama di dalam maqasid syariah,” tambahnya.

Pada masa sama, Mufti Pulau Pinang itu juga meminta agar pihak berkuasa menyemak semula menyemak semula peraturan sedia ada bagi menyekat aktiviti merempit.

Pengurus pasukan SIC Racing Team, Zulfahmi Khairuddin berpuas hati dengan pencapaian Syarifuddin Azman pada Pusingan 5 Kejuaraan JuniorGP Dunia di Litar Algarve, Portugal minggu lalu.

Beliau berharap tempoh rehat sehingga September dapat memberi ruang buat Syarifuddin atau lebih dikenali sebagai Damok memperkemaskan tunggangannya bagi mengharungi pusingan seterusnya di Litar Misano.

“Secara keseluruhan, saya sangat gembira dengan prestasi Damok minggu lalu kerana meraih podium ketiganya musim ini dan sekali gus meletakkan dirinya berada di kedudukan kedua keseluruhan ketika ini.

“Ini adalah sesuatu yang bagus buat kami. Diharap, ketika tempoh rehat ini, dia dapat melihat secara mendalam apakah yang boleh dipertingkatkan lagi untuk ke depan lagi,” kata Zulfahmi.

Ahad lalu, Damok meraih podium ketiganya musim ini di Litar Algarve, Portugal selepas menemui garisan penamat kedua dengan catatan 29 minit 07.323 saat (s) dan dipisahkan 6.551s di belakang pemenang, Jose Rueda (29:00.772s) manakala Adrian Cruces melengkapkan pentas podium di tempat ketiga, 29:07.437s.

Pelumba lain yang bawah kendalian pasukan, Danial Syahmi Ahmad Shahril yang turut beraksi dalam kelas sama pula menamatkan perlumbaan di tempat ke-18 dan kini berada di tangga ke-19 keseluruhan.

Seorang lagi pelumba yang beraksi dalam saingan European Talent Cup (ETC), Hakim Danish Ramli tidak menamatkan perlumbaan selepas jentera mengalami masalah mekanikal dan kini berada di tangga kelima keseluruhan.

“Untuk Danial, ini adalah tahun untuk dia belajar. Dia masih belajar untuk menjadi pantas menggunakan motosikal Moto3. Untuk Danish pula, agak malang yang dia berdepan masalah mekanikal.

“Secara keseluruhannya, Danish adalah seorang pelumba kompetitif di ETC dan diharap, dia akan kembali dengan lebih kuat di pusingan seterusnya,” kata Zulfahmi.

Belum habis isu Haqiem Stopa dijemput untuk memberi ceramah motivasi di sekolah, timbul pula isu tular lagi, dengan tersebarnya gambar menunjukkan sekeping kertas saman yang menunjukkan kesalahan memandu tanpa lesen.

Haqiem sudah pun mengaku kesilapan tersebut dan bersedia menanggung akibatnya.

Dia juga menjelaskan bahawa dia disaman kerana tiada lesen memandu kereta, bukan tiada lesen motosikal.

“Selesai makan malam, saya dan pemandu peribadi terus bergerak untuk pulang ke pejabat saya di Sungai Buloh.

“Kebetulan pemandu peribadi saya tidak larat, jadi saya pandu kereta sendiri namun ditahan polis kira-kira pukul 11 malam ketika melalui satu sekatan jalan raya di ibu kota,” jelasnya.

Setelah gambar kertas saman itu tular, Haqiem telah tampil membuat laporan polis kerana tertera nama penuh dan alamatnya di kertas itu.

Katanya, gambar dan maklumat peribadi tidak sepatutnya dihebahkan kerana ianya melibatkan privasi.

Dalam pada itu, orang ramai turut menyokong tindakan yang dilakukan oleh Haqiem dengan membuat laporan polis dan berharap orang ramai juga tidak lagi sesuka hati mendedahkan maklumat peribadi orang lain.

“Bagus lah Haqiem buat laporan, sebab netizen kita kalau bab dedah dan sebar maklumat orang ni memang cepat.

“Cuba la fikir kalau terkena dekat batang hidung sendiri, pasti malu,” ujar Faizul Jo.

“Buat laporan polis satu tindakan bijak, jangan buat tindakan sesuka hati sudah lah.

“Kalau bab dedah maklumat untuk buatkan orang lain malu itu memang tugas nombor satu netizen kita,” jelas Mat Luq Mache.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube