Bikesrepublic

Berita Terkini

RNF Racing dan Aprilia Racing akan bergabung tenaga apabila pasukan kendalian Datuk Razlan Razali itu disahkan menjadi pasukan satelit Aprilia bermula musim 2023.

RNF Racing dan Aprilia bersama-sama membuat pengumuman rasmi itu yang menyaksikan kedua-dua belah pihak akan berkerjasama selama dua musim dan boleh disambung untuk tempoh dua musim lagi.

Ini merupakan kali pertama dalam sejarah MotoGP, Aprilia mempunyai pasukan satelit dan akan menurunkan empat jentera RS-GP.

Sementara itu, RNF Racing akan mengekalkan prinsip sama, iaitu menjadi platform pembangunan pelumba muda dan berbakat yang kemudiannya akan dibentuk menjadi pelumba pasukan ‘factory’.

Falsafah itu ternyata selaras dengan perkembangan Aprilia yang turut mengikat Aleix Espargaro dan Mavercik Vinales untuk tempoh dua tahun lagi.

“Kami amat teruja dengan kerjasama jangka masa panjang ini dengan Aprilia Racing.

“Falsafah kami adalah untuk berkerjasama dengan pasukan factory bagi membangunkan pelumba yang satu hari nanti menjadi pelumba factory Aprilia.

“Kami akan membantu mereka (Aprilia) dalam aspek pembangunan bagi memastikan kami terus kekal kompetitif dan kemudiannya merekodkan kemenangan bersama Aprilia Racing,” jelas Razlan.

Pengumuman ini sekaligus menyaksikan kerjasama Razlan Razali dan Yamaha berakhir selepas beberapa musim.

“Kertas kerja dikemukakan Aprilia Racing memenuhi perancangan jangka masa panjang kami dan saya mahu berterima kasih kepada Massimo (Rivola) atas kepercayaan diberikan.

“Kami amat teruja dengan musim depan dan kerjasama terbaru ini. Pada masa sama saya mahu berterima kasih kepada Yamaha atas kerjasama yang telah terjalin selama beberapa tahun ini,” tambah Razlan.

Seorang pemandu warga Singapura telah didapati tidak membuat pembayaran selepas selesai mengisi minyak di sebuah stesen minyak di Bukit Indah, Johor Bahru.

Menurut laporan, pemandu kereta jenis Kia Sorento itu telah mengisi minyak jenis diesel namun setelah selesai mengisi, pemandu tersebut telah cabut tanpa selesaikan bayaran.

Stesen minyak tersebut kemudiannya meletakkan notis dan gambar (dari CCTV) dan menggesa pemandu tersebut untuk kembali dan membuat pembayaran.

26May2022 #SNA9151S KIA Sorento Diesel failed to made payment for fuel at Bukit Indah, Johor. Quoted Bukit Indah JB petrol station cashier asks to post.

Posted by SGRV ADMIN on Thursday, 26 May 2022

Makluman kejadian telah dikongsi di laman Facebook SGRV Admin dengan kapsyen “Kia Sorento Diesel gagal membuat bayaran di Bukit Indah, Johor” dan turut mendedahkan juruwang stesen minyak tersebut telah meminta agar hebahan tersebut dibuat.

Untuk rekod, kereta dengan pendaftaran asing dibenarkan untuk mengisi diesel di Malaysia namun terhad kepada 20L sehari dan hanya di stesen minyak dalam radius 25 kilometer dari sempadan Malaysia-Singapura.

Jika dibandingkan, harga diesel di Singapura adalah SGD3 (RM9.60) seliter manakala di Malaysia diesel diletakkan pada RM2.15 seliter bagi Euro 5 B10 dan B20.

Ini bermakna pemandu Kia Sorento itu menikmati penjimatan yang banyak dengan mengisi di Malaysia apatah lagi apabila mengelak daripada membuat pembayaran.

Kawasaki telah dikaitkan dengan penyertaan di MotoGP susulan Suzuki disahkan mahu meninggalkan perlumbaan kejuaraan dunia itu hujung musim ini.

Senario itu juga dianggap ideal untuk Kawasaki apatah lagi dengan rata-rata berpendapat Jonathan Rea wajar diberikan peluang kembali ke kejuaraan dunia tersebut.

Bagaimanapun, laporan terbaru mengesahkan Kawasaki tidak akan melompat ke MotoGP sebaliknya mengukuhkan pendirian untuk terus bersaing di Kejuaraan Dunia Superbike (WorldSBK).

Bercakap kepada Crash.net, Pengurus Pasukan KRT, Guim Roda
menjelaskan KMC Japan telah memutuskan untuk memberi fokus pada WorldSBK dan  perkara itu tidak akan berubah.

“Pendedahan jenama Kawasaki menerusi WorldSBK membantu dalam penjualan motosikal Kawasaki bukan hanya Ninja.

“Di WorldSBK, Kawasaki menggunakan jentera pengeluaran besar-besaran jadi lebih logik untuk berlumba dengan cara ini berbanding daripada menghasilkan chasis, enjin dan aerodinamik serba baharu setiap tahun seperti di MotoGP.

“Bagi KRT, adalah lebih mudah untuk mengaitkan jentera di WorldSBK dengan motosikal untuk pengguna daripada cuba menghasilkan mesin perlumbaan MotoGP yang tidak boleh digunakan pengguna di jalan raya,”  jelas Roda.

Penjelasan Roda itu sedikit sebanyak memberi bayangan bahawa pasukan yang akan menggantikan Suzuki seperti yang didakwa Dorna sebelum ini pastinya melibatkan mereka yang sedang bertanding di MotoGP ketika ini. – Crash.net

Aprilia telah pun menyambung kontrak Aleix Espargaro dan Maverick Vinales untuk tempoh dua tahun lagi.

Perkara itu diumumkan sewaktu sidang media yang diadakan pada Khamis di Mugello yang menyaksikan Espargaro dan Vinales akan kekal bersama pasukan Aprilia MotoGP hingga 2024.

*Aleix Espargaro #41

“Pengesahan ini sememangnya dinantikan.

“Kami telah bekerja keras dan membangun bersama. Daripada satu harapan bertukar jadi realiti.

“Pada 2021, kami telah pun nampak tanda jelas untuk maju kedepan dan kini kami mampu memberi saingan secara konsisten dengan pelumba terbaik dunia.

“Dapat meneruskan perjuangan ini bersama Aprilia adalah satu kebanggaan bagi saya. Kami akan terus membangun dan membuktikannya di litar,” jelas Espargaro.

Penyambungan kontrak Espargaro sememangnya dijangka apatah lagi pelumba Sepanyol itu berjaya meletakkan diri dikalangan pencabar kejuaraan musim ini selepas merekodkan satu kemenangan dan tiga podium berturut-turut.

*Maverick Vinales #12

Walaupun kecemerlangan Espargaro gagal dicerminkan rakan sepasukan, Vinales, namun Aprilia terus meletakkan kepercayaan terhadap pelumba itu yang masih lagi dalam proses penyesuaian dengan jentera RS-GP.

“Saya sangat teruja dapat meneruskan kerja saya bersama Aprilia Racing. Pasukan ini telah berkembang dan kami akan meneruskan usaha untuk mencapai sasaran.

“Saya percaya dengan projek ini, dan gembira kerana dapat menjadi sebahagian daripadanya. Pengesahan ini memberi saya ketenangan untuk bangun bersama pasukan ini,” ujar Vinales.

Saingan MotoGP kembali bersambung hujung minggu ini di Itali.

Penunggang motosikal yang gemar melakukan ‘wheelie’ dan beberapa aksi membahayakan lain di jalan raya awam kini menjadi sasaran penguatkuasa Austria.

Ini kerana kerajaan negara itu sedang membanteras aktiviti sedemikian dengan penunggang motosikal boleh dikenakan denda sehingga EUR10,000 (RM47 ribu).

Austria telah meminda akta kenderaan bermotor bagi mengekang beberapa aktiviti antaranya ‘wheelie’ dan ‘stoppie’ termasuk melakukan ‘wheelspin’, dan donut.

Pindaan tersebut bukan hanya boleh diguna pakai di jalan raya awam malah di tapak letak kereta persendirian.

Pada masa sama, pihak berkuasa juga boleh menyita motosikal tersebut sehingga 72 jam. – BMF

Polis sedang mencari sekumpulan remaja yang tular membuat bising dengan membunyikan ekzos motosikal dengan kuat di Meru, Klang.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao yang dimaklumkan dengan klip di Facebook persatuan penduduk Meru, semalam.

“Kita setakat ini belum menerima laporan berkaitan insiden berkenaan. Polis masih sedang mengenal pasti kumpulan remaja yang membuat bising tersebut,” katanya.

Rakaman berdurasi 1.27 saat tu jelas memaparkan sekumpulan remaja berpakaian baju Melayu telah menganggu orang ramai dengan membuat bising sebelum beredar.

Sehubungan itu , Viaya Rao meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara atau hubungi talian 03-32912222 untuk menyalurkan info berkaitan. – Kosmo

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube