Bikesrepublic

Berita Terkini

Triumph Motorcycles telah pun merasmikan Tiger 1200 generasi baharu bagi tahun 2022.

Menurut pengeluar motosikal Britain itu, pembangunan Tiger 1200 kali ini memfokuskan dalam menghasilkan jentera ‘adventure-touring’ yang lebih ringan dan berkuasa di samping menyuntik spesifikasi berkelas dunia.

Hasilnya, Triumph berjaya mengurangkan berat sehingga 25 kilogram berbanding model sebelumnya dan 17kg lebih ringan berbanding pesaing lain.

Di tengah-tengah pembangunan Tiger 1200 terletaknya enjin dengan ‘crank T-Plane’ baharu yang sebelum ini diperkenalkan pada varian Tiger 900.

‘Crank T-Plane’ membolehkan enjin menghasilkan ‘rev’ yang lebih efisien dan bertenaga ketika rpm rendah dan tinggi.

Enjin 1160cc itu kini menghasilkan 147hp pada 9,000rpm dan 130Nm pada 7,000rpm – naik 8.5hp dan 8Nm berbanding generasi sebelumnya.

Bagi tahun 2022, Tiger 1200 kini tampil dengan varian GT dan Rally serta versi Explorer yang tampil dengan tangki 30L serta menawarkan ciri elektronik tambahan.

Tiger 1200 GT dan GT Pro dilengkapi suspensi Showa separa-aktif elektronik di samping tayar 19-inci depan dan 18-inci belakang manakala Rally dan Rally Pro didatangkan bersama tayar 21″ depan dan 18″ belakang dengan rim jenis ‘wire-spoke’ (lidi) tubeless.

Sementara itu, Tiger 1200 Explorer pula lengkap dengan ciri keselamatan ‘blind spot detection system’ seperti yang terdapat pada Ducati Multistrada V4, KTM 1290 Super Adventure S dan BMW R 1250 RT.

Perasmian Tiger 1200 ini juga merupakan isyarat Triumph Motorcycles dalam memberi cabaran kepada populariti BMW R 1250 GS dan R 1250 GS Adventure yang ketika ini merupakan motosikal ‘adventure’ popular serata dunia termasuk di Malaysia.

Bagaimanapun, berdasarkan ciri ditawarkan di samping spesifikasi berkelas dunia antaranya brek Brembo Stylema dan Triumph Blind Spot Radar System hasil kerjasama dengan Continental, Tiger 1200 2022 mungkin memegang mantel sebagai ‘The GS Killer’ yang terbaru.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menawarkan diskaun bayaran balik saman sehingga 80 peratus sempena sambutan 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia.

Menurut info dikongsikan, PDRM menawrakan diskaun hingga 80 peratus bagi saman dalam kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya sahaja.

Namun, pengguna jalan raya masih menikmati diskaun sehingga 70 peratus bagi saman diluar kawasan tersebut.

Sementara itu, kaunter bayaran saman akan dibuka di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 9 Disember hingga 12 Disember 2021 dari jam 9 pagi hingga 6 petang.

Semua jenis saman layak mendapat pengurangan bayaran balik kecuali berikut:

  • Saman Kemalangan Tahun 2021
  • Saman Berstatus NC (Non-Compoundable)
  • Saman Berstatus Bicara Mahkamah
  • Saman Berkait Kenderaan Lori
  • Saman Kesalahan Potong Secara Berbahaya / Potong ‘Q’ Tahun 2021
  • Saman Kesalahan Menggunakan Lorong Keceasan Tahun 2021
  • Saman Kesalahan Melanggar Lampu Isyarat Merah Tahun 2021
  • Saman Kesalahan Potong Garisan Berkembar Tahun 2021
  • Saman Kesalahan Pengubahsuaian Ekzos Kenderaan

Dalam perkembangan sama, JPJ menawarkan diskaun hingga 80 peratus bagi semua jenis kompaun kecuali berstatus waran tangkap atau dalam perbicaraan.

Pembayaran boleh dibuat secara walk-in ke kaunter JPJ di Hall 1 dan 5 Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada tarikh dan waktu sama.

Dua lelaki telah serah diri di Balai Trafik Port Dickson setelah dirakam dalam aksi lagak marshal di jalan awam Port Dickson.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Aidi Sham Mohamed yang turut memaklumkan kedua-dua lelaki berusia 45 dan 49 tahun itu telah tiba pada Isnin bagi memberi keterangan.

“Kedua-dua lelaki termasuk seorang daripadanya bergelar Datuk hadir ke Balai Trafik sejurus mengetahui aksi mereka dirakam dan tular di media sosial.

“Polis menahan kedua-dua lelaki yang juga ahli perniagaan dan ejen insurans itu,” jelasnya.

Difahamkan, dua jentera jenis Kawasaki GTR 1400 turut dirampas termasuk beberapa barangan yang digunakan dalam rakaman video tersebut.

Video berdurasi tiga minit telah tular di laman sosial baru-baru ini yang memaparkan beberapa marshal telah bertindak mengarahkan kenderaan awam untuk memperlahankan kenderaan dan ketepi bagi memberi laluan kepada konvoi motosikal berkuasa tinggi. – HM

Brabus sememangnya nama besar dalam dunia kenderaan empat roda terutamanya dalam menghasilkan kereta Mercedes berprestasi tinggi.

Bagaimanapun, selepas 45 tahun, syarikat Jerman itu julung kalinya bakal membangunkan jentera dua roda yang dinamakan Brabus 1300 R.

Perkara itu disahkan menerusi dokumen yang telah difailkan di Eropah yang memaparkan nama KTM Brabus 1300 R sekaligus merujuk kepada sebuah motosikal.

Nama model tersebut turut mendedahkan model itu dibangunkan dengan kerjasama pengeluar motosikal Austria, KTM.

Kertas kerja itu juga memaklumkan bahawa jentera yang akan mendapat talaan istimewa dari Brabus adalah sebuah KTM 1290 Super Duke R.

Namun, apa yang mencuri perhatian adalah dokumen tersebut menjelaskan Brabus 1300 R itu menawarkan 177hp dan 139Nm sama seperti 1290 Duke R. Ini bermakna, Brabus hanya akan menyentuh aspek rekaan di samping menawarkan spesifikasi yang lebih tinggi berbanding meningkatkan prestasi enjin.

Bagaimanapun, dimensi jentera tersebut jauh lebih langsing berbanding versi KTM.

Apa pun nantikan pendedahan rasmi oleh Brabus yang dijangkakan akan berlaku tidak lama lagi dan bakal ditawarkan sebagai model 2022.

Meskipun 11 tahun tidak beraksi dengan jentera kapcai namun bekas pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin mudah mempamerkan dominasi apabila menjuarai Braaap Track Attack 2021 kategori MP150 Elite.

Berlangsung di Litar Go Kart Antarabangsa Sepang pada Ahad, Hafizh yang beraksi bagi pasukan J Performance langsung tidak kekok meskipun beraksi dengan jentera jauh lebih kecil berbanding yang ditunggangnya beberapa tahun di MotoGP.

Meskipun berdepan nama besar dari pentas Cub Prix, Hafizh mendahului keseluruhan 15 lap di litar sepanjang 1.2km itu.

Walaupun pada mulanya mendapat saingan sengit dari rakan sepasukan, Izzat Zaidi yang bermula di petak pertama namun Hafizh tenang untuk terus merekodkan kemenangan kedua di Braaap Track Attack kategori MP150 selepas turut menjuarai Supermotard 450 pada Sabtu.

Sementara itu, tempat ketiga jadi milik Syafiq Rasol yang ketinggalan 24 saat di belakang Hafizh dan Izzat.

Hafizh turut meluah rasa teruja atas kesempatan diberikan terhadapnya untuk memanaskan badan sebelum saingan Kejuaraan Superbike Dunia musim 2022 bermula.

“Saya sememangnya teruja dan seronok dapat mengimbas kenangan menunggang kapcai selepas 11 tahun tidak bawak kapcai.

“Memang amat rindu mengingat zaman dulu-dulu berlumba moto kapcai. Saya seronok setiap sesi pada hari ini dan saya cuba memahami litar go-kart ini di mana ini merupakan kali pertama saya race motor kapcai di sini,” jelasnya.

Ketika perlumbaan Supermotard 450 pada Sabtu, Hafizh turut melakar kejutan apabila muncul juara meskipun berdepan pelumba supermoto negara, Gabit Salleh.

Hafizh memenangi perlumbaan itu dengan penuh selesa apabila melintasi garisan penamat dengan jarak 33 saat daripada Gabit yang muncul tempat kedua diikuti Khairul Afif Ghazali ketiga.

Honda Malaysia telah pun merasmikan Honda City Hatchback serba baharu untuk pasaran tempatan.

Model lima pintu itu tampil dengan empat varian berlainan – S,E,V dan RS e:HEV.

Menurut Honda Malaysia, model terbaru itu telah menerima lebih 2,000 tempahan setakat ini sekaligus menyaksikan Honda City Hathcback bakal menggempur segmen-B hatchback disini.

Aspek paling mencuri tumpuan bagi City Hatchback kali ini adalah penggunaan ‘Utlra Seat’ yang membolehkan penggunaan ruang dalam yang lebih efisien.

Sementara itu, trim RS pula menghadirkan reka bentuk yang lebih agresif termasuk penggunaan rim 16-inci berbanding 15″ pada varian S dan E.

Berikut harga mengikut varian:

  • 1.5L S – RM75,670
  • 1.5L E – RM83,080
  • 1.5L V – RM87,860

*Harga bagi varian RS hanya akan diumumkan pada awal 2022 nanti.

Tiga varian pertama dikuasakan enjin 1.5L DOHC i-VTEC yang menjana 121PS dan 145Nm yang disalurkan menerusi transmisi CVT. Penggunaan bahan api pula diletakkan pada 5.6L/100km.

Bagaimanapun, varian tertinggi, RS pula hadir dengan enjin 1.5L Sports i-MMD e:HEV yang menawarkan 109PS 253Nm dengan pengunnan bahan api diletakkan pada 3.6L/100km.

Varian RS juga didatangkan dengan ciri keselamatan Honda SENSING yang menawarkan fungsi berikut:

  • Adaptive Cruise Control (ACC)
  • Collision Mitigation Braking System (CMBS)
  • Forward Collision Warning (FCW)
  • Lane Keep Assist System (LKAS)
  • Road Departure Mitigation (RDM)
  • Lane Departure Warning (LDW)
  • Auto High Beam (AHB)
  • Honda CONNECT + more

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube