Bikesrepublic

Berita Terkini

Honda Malaysia mengumumkan harga rasmi bagi bagi HR-V Sport Hybrid i-DCD yang ditetapkan pada RM113,954.

Bagi tahun 2021, HR-V Sport Hybrid i-DCD ini tampil dengan lampu LED penuh di bahagian depan dan belakang serta lampu kabus (fog lamp).

Bahagian luar juga lebih menonjol dengan penggunaan pemegang pintu jenis krom manakala ruang dalam kini dilengkapi paparan 7″ dengan keterhubungan Apple CarPlay dan Android Auto termasuk dua port USB.

Pengalaman pemanduan juga dipertingkat dengan stereng tiga bilah berserta kulit.

Hampir setahun selepas BMW memperkenalkan M 1000 RR untuk pasaran global, jentera superbike itu akhirnya memasuki pasaran Malaysia dan ditawarkan pada harga RM249,500.

Pelancaran M 1000 RR tahun lalu sememangnya menjadi topik perbualan ekoran tampil sebagai jentera superbike paling berkuasa pernah dihasilkan BMW.

Dibina berasaskan S 1000 RR, model baharu dengan lencana M itu meneruskan tradisi BMW sebagai lambang jentera berprestasi tinggi.

Hasilnya, enjin 999cc 4-inline dengan penyejukan cecair dan teknologi ShiftCam ini menawarkan 212hp pada 14,500rpm dan 112Nm pada 11,000rpm.

Bagi meningkatkan lagi prestasi dan tahap efisien enjin, M 1000 RR ini juga dilengkapi dengan corong kemasukan udara boleh ubah dengan bantuan servomotor yang berkemampuan mengubah saiz corong sewaktu kelajuan tinggi.

Hasilnya terdapat peningkatan tork yang ketara dari 6,100rpm kepada 9,500rpm.

Pada masa sama, BMW M 1000 RR ini juga didatangkan dengan ekzos titanium yang menggunakan dua ‘catalytic converters’ tiga arah dan didakwa hanya seberat 7kg berbanding 11kg yang terdapat pada S 1000 RR.

Empat mod tunggangan ditawarkan kepada penunggang menerusi Raid, Road, Dynamic dan Race namun BMW turut menawarkan tiga mod Race Pro boleh laras mengikut cita rasa.

Sementara itu, fork USD 45mm depan masih sama seperti yang terdapat pada S 1000 RR namun dengan penggunaan bahan – solid aluminium – yang lebih ringan.

Sistem brek dengan teknologi WSBK turut diguna pakai menerusi kaliper brek M yang dibekalkan oleh Nissin namun telah dimodifikasi bagi menawarkan prestasi lebih efisien dan ringan.

Kaliper ini dipasangkan dengan cakera brek 320mm yang sedikit tebal berbanding pada S 1000 RR dengan dua jenis pad brek ditawarkan BMW bagi kegunaan di jalan raya dan litar.

Sementara itu, BMW Motorrad Malaysia turut mengumumkan ketibaan S 1000 R 2021 untuk pasaran tempatan yang tampil dengan dua varian, S 1000 RR Style Sport dan M Package.

Varian Style Sport ditawarkan pada harga RM104,500 manakala M Package adalah RM119,500.

BMW telah menyuntik S 1000 R 2021 dengan enjin yang kini mematuhi piawain Euro 5 di samping kerangka ‘Flex Frame’ baharu.

Bagaimanapun, ciri yang paling menjadi perhatian adalah rekaan motosikal tersebut yang kini tampil dengan lampu depan LED tunggal berbanding model sebelum ini.

Meskipun tidak se-ikonik lampu sebelumnya namun jelas BMW kini memfokuskan kesinambungan bagi kesemua model sedia ada, maka tidak hairanlah lampu depan kini tampak seakan menyamai G 310 R yang turut sama dilancarkan.

Nadi S 1000 R juga dikemas kini bagi 2021 susulan pelaksanaan Euro 5 bagaimanapun ketika pengeluar lain terpaksa mengorbankan prestasi, BMW berjaya mengekalkan kuasa sama.

Unit 4-inline 999cc pada S 1000 R ini masih lagi menawarkan 165hp pada 11,000rpm dan 114Nm pada 9,250rpm dengan 90 daripada tork itu tersedia pada 5,500rpm hingga 12,000rpm.

Menariknya, susulan Euro 5, enjin ini juga 5 kilogram lebih ringan.

Klac assit/slipper yang ditawarkan turut ditambah baik dengan ‘engine drag torque control’ buat julung kalinya.

Sistem ini menghindarkan daripada tayar belakang tergelincir susulan penggunaan throttle (pendikit) atau turun ‘gear’ dengan kerap.

Pada masa sama, kerangka yang dinamakan ‘Flex Frame’ pada S 1000 R ini kini lebih ringan susulan diangkat dari S 1000 RR.

Penggunaan ‘Flex Frame’ ini selain daripada membenarkan penunggang meletakkan kaki dengan lebih rapat juga membantu meingkatkan kestabilan sewaktu mengambil selekoh dengan sudut condong tinggi.

Paparan TFT 6.5′ juga diambil dari S 1000 RR yang mengawal selia traction control, ABS pro dengan fungsi cornering dan tiga mod tunggangan, Rain, Road dan Dynamic.

Sementara itu, BMW turut menawarkan pakej Dynamic Pro yang merangkumi pelbagai tetapan tambahan antaranya

  • engine brake control
  • engine drag torque contol
  • Power Wheelie
  • Dynamic Brake Control (DBC)

Kedua-dua model M 1000 RR dan S 1000 R 2021 ini akan didapati di seluruh pengedar BMW Motorrad Malaysia bermula hari ini (27 Ogos 2021).

Petronas Sepang Racing Team (SRT) mengesahkan bahawa pasukan itu akan menamatkan segala penyertaan dalam kelas MotoGP, Moto2 dan Moto3 setelah berakhirnya musim 2021.

Bagaimanapun, Prinsipal SRT, Datuk Razlan Razali dan Pengurus Pasukan, Johan Stigefelt akan meneruskan usaha dalam kategori MotoGP dengan entiti baharu yang akan diumumkan pada 16 September ini di Misano.

“Perlumbaan terakhir SRT adalah di Valencia dan untuk itu kami mengucapkan terima kasih kepada semua kru, pelumba, peminat dan rakan kongsi atas sokongan selama ini.

“Terutamanya, terima kasih kepada PETRONAS, kerana mereka menjadikan segalanya dapat dilaksanakan. Bersama-sama kami berjaya mengetengahkan jenama PETRONAS dan kepakaran Malaysia di pentas antarabangsa melebihi segala jangkaan.

“Kami juga mahu berterima kasih kepada Litar Antarabangsa Sepang (SIC) atas sokongan mereka dalam membangunkan bakat muda Malaysia.

“Sasaran utama kami adalah melahirkan pelumba Malaysia yang akan beraksi di Kejuaraan Dunia MotoGP tetapi kami berdukacita kerana tidak dapat mencapai matlamat ini,” jelas Razlan.

Setakat GP Britain 2021, SRT telah pun merekodkan 12 petak pertama, 16 podium dan enam kemenangan di kelas MotoGP diikuti satu petak pertama dan satu podium di Moto2 manakala kategori Moto3 menyaksikan enam petak pertama diraih, 12 podium dan dua kemenangan

Pengeluar motosikal India, Bajaj, bakal melancarkan Pulsar 250 serba baharu pada November ini selaras dengan sambutan ulang tahun ke-20 jenama itu.

Bagaimanapun, menjelang pelancaran tersebut, kini timbul lagi imej ‘spy shot’ mengenai dua model baharu, Pulsar 250 (naked) dan Pulsar 250F (semi-fairing).

Meskipun terdapat beberapa gambar ‘spy shot’ yang dikongsikan sebelum ini, namun ciri sebenar masih tidak didedahkan setakat ini.

Apa yang pasti, Pulsar 250 akan tampil dengan ciri lebih moden antaranya penggunaan lampu LED penuh berbanding Pulsar NS/RS 200 yang masih menggunakan lampu jenis halogen.

Sementara itu, tidak dipastikan sama ada Pulsar 250 ini akan turut dijenamakan semula oleh Modenas untuk pasaran tempatan pada masa akan datang.

Aprilia telah pun mengesahkan bahawa bekas pelumba Yamaha, Maverick Vinales, akan membuat penampilan sulung bersama pasukan itu hujung bulan ini di Misano.

Vinales akan menunggang jentera RS-GP Aprilia dalam sesi ujian dua hari yang akan berlangsung pada 31 Ogos dan 1 September ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Aprilia, Massimo Rivola dalam satu kenyataan berkata, “Dari pandangan teknikal, amat mempersonakan untuk mendngar maklum balas pelumba yang menguji jenter baharu buat pertama kali.

“Terutamanya bagi sang juara seperti Maverick, yang kami rasa amat berbesar hati untuk menerimanya dalam keluarga Aprilia Racing.

“Dengan bakat dan kelajuan dimiliknya, kami tak sabar untuk bekerjasama,” jelasnya.

Difahamkan, ujian dua hari tersebut bakal menilai sama ada Vinales sudah bersedia untuk beraksi di GP Aragorn pada 12 September ini.

Bagaimanapun, dengan peluang uji jentera RS-GP diserahkan kepada Vinales, tidak dapat dipastikan apakah status seterusnya bagi Andrea Dovizioso, yang sebelum ini telah pun giat menguji jentera RS-GP bagi 2021.

Kurang 48 jam selepas Triumph Motorcycles mengumumkan prototaip Tiger Sport 660 yang dilitupi grafik ‘camo’ bagi menyorok ciri sebenar motosikal tersebut, terdapat pihak yang berjaya mendapatkan imej jelas model itu.

MotorBeam memaparkan Tiger Sport 660 itu tampil dengan warna serba merah dan jelas menampakkan elemen generasi Tiger Sport sebelumnya.

Sumber imej: MotorBeam

Melihat kepada foto yang dikongsikan, selain daripada dikuasakan enjin 3-silinder, 660cc yang sama diambil dari Trident 660, terdapat aspek lain yang jelas dipinjamkan dari model naked itu antaranya paparan skrin TFT (namun dengan reka bentuk yang lebih bersegi).

Sebagai sebuah motosikal sports-tourer, Tiger Sport 660 tampil dengan fasia depan yang lebih lebar yang digabungkan bersama dua lampu LED serta penghadang angin tinggi.

Pada masa sama, model ini juga kelihatan menawarkan jarak kelegaan tanah yang lebih tinggi dan ‘suspension travel’ yang lebih besar.

Namun seperti Trident, Tiger Sport juga menampakkan subframe yang terdedah serta ekzos jenis ‘underbelly’.

Maklumat lebih terperinci mengenai Tiger Sport 660 ini dijangka akan didedahkan dalam masa terdekat. – MotorBeam

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube