Bikesrepublic

Berita Terkini

Raul Fernandez akan beraksi di MotoGP musim depan setelah disahkan menyertai Tech3 KTM.

Pelumba muda Sepanyol itu akan digandingkan bersama rakan sepasukan Moto2, Remy Gardner, yang terlebih awal mengesahkan tempat bersama Tech3 sebelum ini.

Berita mengenai perpindahan Fernandez ke Tech3 KTM telah diumumkan sewaktu sesi FP4 (Ujian Bebas 4) di GP Styria sedang berjalan pada Sabtu.

“Saya amat berbesar hati dengan peluang yang diberikan KTM.

“Saya telah belajar banyak dan menikmati saingan Moto2 dan saya berasa bersyukur kerana dapat melangkah ke MotoGP.

“Ini adalah impian semua pelumba untuk memasuki kelas ini,” jelas Fernandez.

Pengesahan ini sekaligus menamatkan spekulasi yang sebelum ini mengaitkan pelumba berusia 20 tahun itu dengan Petronas Sepang Racing Team (SRT) yang berminat dengan khidmatnya.

Sementara itu, pengumuman ini juga bermakna pelumba sedia ada Tech3, Iker Lecuona dan Danilo Petrucci, bakal ketiadaan pasukan bagi musim 2022.

Beberapa minggu selepas melancarkan YZF-R7, Yamaha telah pun memfailkan tanda dagangan R1 hingga R9 termasuk R15, R250 dan R25 di Jepun.

Bagaimanapun, dalam perkembangan terbaru, Yamaha telah pun memfailkan dokumen dengan nama R2, R7 dan R9 dengan Kesatuan Eropah, Australia, New Zealand, Great Britain, Switzerland serta Uruguay sekaligus mengesahkan beberapa model R baharu akan diperkenalkan.

Perlu diingatkan bahawa Yamaha terlebih dahulu telah pun memfailkan tanda dagangan bagi beberapa nama sebelum ini di Jepun namun tindakan terbaru Yamaha yang membuat permohonan di Kesatuan Eropah dan beberapa negara lain membuktikan syarikat itu rancang untuk perkenalkan R2 dan R9 setelah R7 telah pun dilancarkan secara global.

*Yamaha YZF-R7 2021

Walaupun permohonan tanda dagangan tidak selalu membawa kepada penghasilan produk sebenar namun tindakan Yamaha untuk memfailkan tiga nama dengan satu daripadanya telah pun dilancarkan membuktikan model R2 dan R9 menjadi fokus utama.

Yamaha telah pun disebut-sebut akan memperkenalkan versi R9 yang akan dikuasakan enjin 890cc CP3 yang sama terdapat pada MT-09 baharu, idea sama yang diguna pakai pada R7 yang bernadikan enjin 689cc dari MT-07.

*Yamaha MT-09 2021

Namun begitu, berbeza kisahnya bagi model R2 apabila Yamaha ketiadaan enjin bersesaran 200cc buat masa ini (mengandaikan R2 merujuk kepada model 200cc).

Paling hampir adalah unit 250cc yang terdapat pada R25, namun enjin dua silinder 249cc itu merupakan versi yang telah pun digubah dari model R3.

Apa yang pasti, Yamaha sedang memberikan penekanan pada nama R2 dan R9 sekaligus beri bayangan bahawa dua model ini akan sertai R7 tidak lama lagi.

Media antarabangsa mendakwa Marco Bezzecchi dikhabarkan akan berhijrah ke Petronas Sepang Racing Team (SRT) bagi musim 2022.

SRT ketiadaan dua pelumba musim depan tatkala Valentino Rossi telah pun mengumumkan persaraan sementara Franco Morbidelli disebut akan digandingkan bersama Fabio Quartararo di pasukan factory Yamaha.

Meskipun beberapa pelumba telah dikaitkan dengan SRT antaraya Raul Fernandez, Joe Roberts dan Marcel Schrotter sebelum ini namun Bezzecchi dicanang sebagai pilihan utama.

Pelumba VR46 di Moto2 itu sebelum ini telah pun menolak tawaran dari Aprilia dan kemudian didakwa bakal sertai Luca Marini di VR46 Ducati musim depan.

Bagaimanapun, Autosport melaporkan bahawa pelumba berusia 22 tahun itu telah pun mencapai persetujuan bersama SRT dan akan beraksi dengan jentera Yamaha musim depan.

Namun tidak dapat dipastikan sama ada Bezzecchi akan mendapat jentera factory Rossi atau A-spec milik Morbidelli.

Ketika ini, SRT masih belum membuat sebarang pengumuman rasmi bagi barisan pelumba yang akan meneruskan cabaran bagi musim 2022. – Autosport

Perkhidmatan bantuan tepi jalan Allianz kini ditawarkan secara percuma bagi pemegang polisi bantuan motosikal komprehensif bawah 250cc.

Bantuan tepi jalan (Allianz Roadside Assistance) merangkumi servis seperti berikut:

  • bantuan tunda motosikal (percuma hingga 50km)
  • penghantaran minyak petrol
  • bateri
  • perkhidmatan tayar pancit

Pelanggan Allianz Motorcycle Plus (Komprehensif) atau Allianz Motorcycle (Komprehensif) (bawah 250cc) kini boleh mendapatkan perkhidmatan bantuan tepi jalan secara percuma dengan menghubungi talian 24 jam Allianz Roadside Assistance di 1800-22-5532 dengan bantuan akan segera dihantar ke lokasi pelanggan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Allianz General Insurance Company (Malaysia), penunggang motosikal sudah lama mengharapkan perkhidmatan seperti ini ditawarkan bagi motosikal bawah 250cc.

Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun bersama seorang rakan berusia 19 tahun telah dihadapkan di mahkamah Singapura selepas didapati bersalah terlibat dalam kecurian motosikal.

Difahamkan remaja tersebut (yang tidak dinamakan kerana masih bawah umur) telah belajar teknik menghidupkan motosikal secara ‘hotwire’ menerusi video di YouTube.

Menurut laporan, tertuduh dengan rakannya telah bertindak mencuri motosikal jenis Yamaha YZF-R15 yang bernilai sekitar SGD10,000 pada September tahun lalu.

Keesokan harinya, tertuduh bersama rakanya telah berjumpa di sebuah tapak letak kenderaan di Canberra Road lalu menyembur motosikal tersebut dengan warna hitam dalam usaha untuk elak daripada ditemui semula.

Namun, percubaan untuk menghidupkan semula motosikal tersebut dengan cara sama gagal lantas mereka meninggalkan motosikal itu di kawasan tersebut yang kemudiannya berjaya ditemui polis peronda.

Bagaimanapun, kedua-dua suspek kemudiannya mencuri sebuah lagi motosikal model sama di Wellington Circle sebelum berjaya ditemui semula di Yishun.

Remaja 17 tahun itu telah dijatuhkan hukuman latihan pemulihan akhlak selama setahun termasuk menjalani rejimen ketat dan sesi kaunseling.

Sementara rakannya, Mohamad Syafiq Mohamad Jeffery, telah dikenakan hukuman percubaan (probation) dengan pemantaun rapat.

Kedua-duanya juga dilarang memiliki sebarang lesen memandu untuk tempoh setahun. – The Star

Desas-desus mengenai masa depan Valentino Rossi di pentas MotoGP akhirnya terjawab apabila mengesahkan tidak akan meneruskan kariernya di perlumbaan dua roda bermula musim depan.

Ini bermakna, Petronas Sepang Racing Team (SRT) merupakan destinasi terakhirnya di kelas premier selepas lebih 30 tahun beraksi di MotoGP.

Rossi mengumumkan persaraannya sewaktu sesi sidang media yang berlangsung sebentar tadi menjelang GP Styria hujung minggu ini.

“Saya membuat keputusan untuk menamatkan karier saya hujung musim ini. Dengan dukacitanya, ini (2021) adalah musim terakhir saya di MotoGP.

“Ini adalah satu saat yang sukar bagi saya untuk perkatakan kerana saya sudah terlibat dengan sukan permotoran hampir 30 tahun,” jelas Rossi.

Menariknya, Rossi mengakui perancangan asal di awal musim 2021 adalah untuk meneruskan kariernya namun selepas beberapa keputusan kurang baik setakat ini, dia memutuskan untuk bersara.

Bagaimanapun, Rossi menyifatkan perjalanan kariernya selama ini cukup mengujakan.

“Saya bertuah kerana berjaya memenangi banyak perlumbaan, dan itu adalah sesuatu yang sangat menyeronokkan.

“Sememangnya satu keputusan yang sukar tetapi saya rasa ini adalah satu keputusan yang tepat kerana sukan ini mementingkan keputusan yang baik.

“Tahun depan, kehidupan saya akan berbeza tetapi saya menikmati setiap saat dalam pengembaraan ini,” tambah Rossi.

Rossi merupakan pelumba MotoGP paling berjaya dalam sejarah sukan itu dengan sembilan kejuaraan dunia dengan tujuh daripadanya di kelas premier.

Pelumba berusia 42 tahun itu akan kembali ke litar bersama SRT hujung minggu ini di Red Bull Ring untuk separuh kedua musim 2021.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube