Meskipun status Marc Marquez bersama pasukan Repsol Honda masih lagi kabur namun itu tidak menghalang lapan kali juara dunia itu untuk naik podium di Litar Motegi, Jepun, pada Ahad.
Marquez menamatkan saingan di tempat ketiga di belakang Francesco Bagnaia (Ducati) dan pemenang, Jorge Martin (Pramac-Ducati).
Disebalik kejayaan kembali ke podium, senario itu tidak sedikitpun melenyapkan khabar angin mengenai masa depan pelumba Sepanyol itu. Ini kerana sedang hangat diperkatakan bahawa Marquez akan sertai adiknya Alex Marquez di Gresini Racing bagi musim 2024 sekaligus bakal beraksi dengan jentera Ducati Desmosedici tahun depan.
Untuk rekod, jentera Ducati sedang mendominasi perlumbaan MotoGP ketika ini kerana daripad 14 pusingan setakat ini, 11 daripadanya telah dimenangi pelumba yang menunggang jentera Ducati.
Memahami kombinasi Marquez dan Ducati adalah cukup mengerikan, Cal Crutchlow – yang pernah menjadi pelumba Honda bersama Marquez untuk tempoh enam tahun – berpendapat perpindahan tersebut (sekiranya berlaku) akan menggegar kejuaraan dunia itu.
“Saya tidak tahu apa yang saya akan lakukan dalam tempatnya. Tetapi saya sering berkata: Jika Marc (Marquez) beralih ke Ducati, pelumba lain tiada peluang untuk bersaing.
“Kerana itulah saya berharap di kekal bersama Honda. Kerana saya mahu menyaksikan perlumbaan yang sengit.
“Bagi saya, Marc masih lagi pelumba terbaik dan berbakat yang pernah saya saksikan sehingga kini,” Crutchlow memberitahu Speedweek.
Tambah Crutchlow lagi, Marquez tidak hilang sentuhan sebaliknya jentera yang diguna pakai ketika ini tidak membenarkan dia memberikan persembahan yang sewajarnya.
Triumph Tiger 900 GT Aragon Edition tiba untuk pasaran Malaysia menerusi pengedar rasmi Triumph Motorcycles Malaysia.
Untuk rekod, Triumph menawarkan dua versi bagi Aragon Edition yang merangkumi Tiger 900 Rally dan Tiger 900 GT namun bagi pasaran tempatan hanya varian GT sahaja yang ditawarkan dengan harga jualanr rasmi RM81,000.
Edisi khas ini dihasilkan bagi memberi penghargaan kepada kejayaan Ivan Cervantes yang menjuarai perlumbaan Baja Aragon tahun lalu mengguna pakai Tiger 900 Rally Pro. Menariknya, Cervantes menamatkan perlumbaan sejauh 450km itu dengan kelebihan 1 jam 6 minit di hadapan pesaing terdekat.
Tiger 900 GT Aragon Edition menampilkan pelbagai ciri terkini yang diilhamkan daripada Tiger 900 GT Pro.
Pertamanya, TIger 900 GT Aragon Edition ini menampilkan gabungan warna Merah, Matt Phantom Black dan Crystal White. Juga kelihatan nama GT Aragon di panel badan motosikal berkenaan.
Selain itu, Tiger 900 GT Aragon Edition ini masih lagi mengekalkan enjin tiga silinder 900cc yang menawarkan 94hp dan 87Nm pada 7,7250rpm yang dibantu klac ‘assist & slipper’.
Dalam pada itu, pengalaman menunggang dipertingkat dengan fork USD Marzocchi 45mm di bahagian depan, lampu kabus dan pelindung enjin. Menariknya, Triumph juga menawarkan pelbagai aksesori tambahan bagi Tiger 900 GT Aragon Edition.
Ketika pasaran Malaysia sedang meraikan ketibaan Ninja ZX-25R SE, negara jiran Singapura telah pun menerima Kawasaki Ninja ZX-4RR terbaru.
Memetik laporan rakan media Paultan.org, model itu hadir dengan harga jualan SGD18,000 (RM61.9k) namun ditambah dengan yuran Singapore Certificate of Entitlement (COE) SGD10,700 (RM36.8k) ini bermakna pelaggan perlu membayar RM98.7k bagi mendapatkan motosikal berkenaan.
Jika dibandingkan dengan pasaran negara Asia Tenggara lain antaranya Thailand, Ninja ZX-4RR itu dijual pada harga THB320,000 (RM41.8k) sementara di pasaran Filipina pula harga jualan adalah sekitar PHP499,000 (RM41.2k).
Sementara itu di pasaran Malaysia, Ninja ZX-4RR dilaporkan akan memasuki pasaran sekitar tahun depan.
Untuk rekod, Kawasaki Ninja ZX-4RR ini dikuasakan enjin 399cc 4-stroke DOHC dengan penyejukan cecair yang menawarkan ‘rev limit’ lebih 15,000rpm. Kuasa enjin pula disalurkan kepada tayar belakang menerusi transmisi 6-kelajuan dengan bantuan klac basah. Platform tersebut berupaya menghasilkan 79.1hp dengan bantuan Ram-Air. – Paultan.org
Selepas sekian lama penantian, BMW Motorrad dengan rasminya memperkenalkan BMW R 1300 GS 2024. Menariknya, bukan hanya enjin yang baru malah BMW telah mereka semula keseluruhan aspek motosikal adventure terkemuka mereka.
Hasilnya, BMW R 1300 GS kini 12kg lebih ringan berbanding R 1250 GS 2023.
Enjin
Menurut BMW, R 1300 GS kini dikuasakan enjin boxer 1300cc dengan sistem penyejukan cecair/air yang berupaya menghasilkan 145hp pada 7,750rpm dan 149Nm pada 6,500rpm. Seperti model BMW terbaru, model ini juga dilengkapi teknologi BMW ShiftCam (variable valve timing).
Dalam pada itu, pembangunan R 1300 GS juga memfokuskan pada peningkatan tork dan BMW mendakwa sebanyak 130Nm tork akan hadir antara 3,600 dan 7,800rpm sekaligus memastikan daya tarikan kekal kuat dalam pelbagai senario menunggang.
Sementara itu, meskipun enjin lebih besar dengan bore dan stroke diletakkan pada 106.5mm x 73mm namun penggunaan bahan api sama efisien seperti R 1250 GS. Menurut BMW, R 1300 GS ini juga boleh mencapai kelajuan maksima 200km/j dan boleh pergi 0-100km/j dalam tempoh 3.39 saat.
Kehadiran enjin baru juga menyaksikan kotak gear 6-kelajuan kini terletak di bawah enjin berbanding di belakang seperti sebelum ini. Hasilnya, pusat graviti kini lebih rendah di samping model baharu ini tampil lebih kompak. Secara keseluruhan, meskipun enjin lebih besar, platform baharu ini 4kg lebih ringan berbanding R 1250 GS.
Casis
BMW turut membangunkan kerangka serba baharu untuk R 1300 GS ini. Bahagian ‘subframe’ yang sebelum ini menggunakan ‘tubular steel’ telah digantikan dengan komponen lebih kukuh dan menawarkan kawalan menunggang yang lebih cekap.
Bahagian suspensi pula merangkumi Evo Telelever baharu di bahagian depan dan Evo Paralelever baharu di bahagian belakang. BMW mendakwa rekaan terbaru ini bukan sahaja meningkatkan kemampuan menunggang malah cengkaman yang lebih baik di bahagian belakang.
Pakej brek pula terdiri daripada kaliper brek 4-pot berkembar di bahagian depa yang dipadankan bersama cakera brek 310mm serta kaliper brek 2-pot belakang dengan cakera brek 285mm. Menariknya, fungsi ABS Pro dan Dynamic Brake Control kini didatangkan secara standard pada model baharu ini.
Untuk rekod BMR 1300 GS ini datang dengan rim 19-inci depan dan 17-inci belakang.
Dimensi
Menurut BMW, ketinggian tempat duduk R 1300 GS diletakkan pada 850mm namun dalam keadaan gerak perlahan atau berhenti, fungsi ‘adaptive seat height’ akan menurunkan ketinggian pada 820mm.
Sementara itu, BMW menyenaraikan berat kering (dry weight) pada 237kg dan kapasiti tangki bahan api pada 19L.
Ciri tambahan
Melihat kepada gambar, aspek paling mencuri tumpuan tentunya terarah pada bahagian lampu LED depan berbentuk ‘X’ yang sememangnya akan menjadi topik perbincangan di kalangan peminat GS.
Selain itu, antara ciri lain ditawarkan termasuk 4-mod menunggang; Rain, Road, Eco dan Enduro, dynamic traction control, engine drag torque control, dynamic brake assist, hill start control, TPMS dan dynamic cruise control.
BMW R 1300 GS ini juga didatangkan dengan ‘handguard’ yang disekalikan dengan lampu isyarat serta bateri litium-ion secara standard. Juga tidak ketinggalan, panel meter TT berwarna 6.5-inci, port USB, soket 12V, sistem tanpa kunci (keyless) dan grip pemanas.
Varian
BMW R 1300 GS ini hadir dengan tiga varian, Triple Black, GS Trophy dan Option 719 Tramuntana.
Meskipun gergasi motosikal India, Bajaj mencuri tumpuan dengan kerjasama Triumph dan KTM namun dari segi penghasilan model jenama sendiri, mereka agak suram kebelakangan ini.
Ini kerana selain memperkenalkan Pulsar NS200 2023 yang telah dinaik taraf dengan ABS dwi-saluran dan lebih ringan berbanding generasi sebelumnya, model itu masih lagi tampil dengan reka bentuk yang sama.
Namun, perkara itu dijangka berubah bagi tahun depan apabila mereka Bajaj dilaporkan akan memperkenalkan Pulsar NS400.
Berdasarkan laporan Gaadiwaadi.com, Pengarah Urusan Bajaj Auto, Rajiv Bajaj sendiri mengesahkan perkara itu dengan pelancaran akan dibuat lebih awal dari jangkaan.
Difahamkan, Pulsar NS400 itu akan dikuasakan enjin sama yang terdapat pada Dominar 400 sekaligus menawarkan sekitar 40hp @ 8,800rpm dan 35Nm pada 6,500rpm.
Bagi memastikan kos kekal rendah, NS400 itu juga akan mengguna pakai kerangka sama digunakan pada NS200. Namun begitu, kerangka tersebut akan diperkuat bagi memuatkan enjin yang lebih besar itu.
Antara ciri lain yang akan ditawarkan termasuk pencahayaan LED penuh, panel meter digital, fork USD, serta ABS dwi-saluran.
Ducati Malaysia dengan rasminya melancarkan Ducati Panigale V4 SP2 untuk pasaran tempatan dengan harga jualan rasmi RM299,900.
Panigale V4 SP2 merupakan generasi kedua selepas V4 SP yang membuat penampilan sulung pada 2020. Namun, generasi terbaru kali ini tampil lebih ringan di samping telah dinaik taraf dengan komponen dan aksesori unik.
Untuk rekod, V4 SP2 masih lagi dikuasakan enjin Desmosedici Stradale V4 1103cc yang menawarkan 228hp dan 123.6Nm @ 9,500rpm.
Namun, V4 SP2 ini telah dilengkapi dengan pelbagai kelengkapan premium termasuk:
Ohlins NPX 24/30 front end
TTX36 rear shock and steering damper
Ohlins Smart EC 2.0 system
four power modes (Full, High, Medium and Low)
Brembo MSC 19.21 master cylinder
Marchesini forged wheels.
Brembo Stylema
STM EVO ‘dry clutch’
Bagi menjamin prestasi cemerlang di litar lumba, Panigale V4 SP2 ini turut menawarkan mod Street dan Sport (dengan tetapan Race A dan Race B), Track Evo dan Ducati Data Analyser dengan modul GPS.
Bagi memastikan jentera berkuasa 228hp ini menawarkan pengalaman mengujakan, Ducati turut menawarkan pakej elektronik lengkap yang terdiri daripada:
Cornering ABS EVO
Ducati Traction Control (DTC) EVO
Ducati Wheelie Control (DWC) EVO
Ducati Slide Control (DSC)
Engine Brake Control (EBC) EVO
Auto tyre calibration
Ducati Power Launch
Ducati Quick Shift (DQS) EVO 2
Akhir sekali, Ducati Panigale V4 SP2 ini datang dengan gabungan warna hitam matt dengan livery Winter Test.